Hanya Kerjasama, Bukan Sertai BN - Setiausaha Agung PAS

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan
KUALA LUMPUR – PAS akan bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk Barisan Nasional (BN) bagi memperkukuhkan Islam di negara ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, PAS bagaimanapun tidak menyertai BN kerana perkara itu telah ditetapkan dalam mesyuarat Majlis Syura Ulama PAS, Januari lalu.

“PAS berpegang teguh kepada keputusan Majlis Syura Ulama PAS yang telah bersidang pada 2 Januari 2016 yang mengesahkan bahawa PAS tidak akan menyertai BN,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Semalam. pendakwah terkemuka dari luar negara, Dr. Zakir Naik secara terbuka menyatakan harapan beliau untuk melihat UMNO dan PAS dapat bekerjasama bagi membolehkan negara ini dan syiar Islam terus berkembang maju.

Menurut penceramah berasal dari Mumbai, India itu, secara keseluruhan umat Islam di negara ini termasuk kedua-dua pemimpin parti itu dilihat sebagai pengamal Islam yang baik.

Jelasnya, walaupun terdapat perbezaan ideologi politik dalam kedua-dua parti, tetapi itu bukan penghalang.

“Kalau mereka boleh bersatu berlandaskan al-Quran dan hadis, ia akan menjadi sesuatu yang baik bagi muslim.

“Jika kedua-duanya bekerjasama ia akan membentuk komuniti Islam yang berkali ganda besar berbanding bukan Islam dan saya berdoa untuk itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri sesi wawancara bagi program Persepsi di TV Al-Hijrah.

Rentetan itu Dr. Zakir dilempar dengan pelbagai kata nista oleh penyokong Pakatan Harapan di media sosial yang berang dengan saranan berkenaan.

Dr. Zakir yang sangat berpengaruh dalam kalangan masyarakat Islam di seluruh dunia itu turut dituduh sebagai pencacai UMNO dan kerajaan. –Kedahnews.com