Harimau Malaya Ketandusan Pemain - Tan Cheng Hoe

PETALING JAYA - Prestasi pasukan bola sepak kebangsaan tidak pernah sunyi daripada kritikan, lebih-lebih  dengan kedudukan pasukan bimbingan Datuk Ong Kim Swee di ranking ke-174 Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).

Kemerosotan skuad Harimau Malaysia sebenarnya bukan terletak di tangan jurulatih semata-mata, sebaliknya pelbagai faktor yang menjadikan sesebuah pasukan itu berdepan dengan kejatuhan.

Bekas penolong jurulatih kebangsaan yang kini menguruskan pasukan Kedah, Tan Cheng Hoe berpendapatan Kim Swee kini berdepan masalah mencari pemain yang terhad.

"Saya faham dengan situasi Datuk Ong yang sukar mencari penyerang terbaik untuk skuad negara kerana sukar menilai sejauh mana kemampuan mereka memandangkan di peringkat kelab atau negeri lebih ramai menggunakan penyerang import.

"Saya sendiri memilih pemain import di barisan serangan, begitu juga dengan pasukan-pasukan lain. Jadi apabila tiba pemilihan untuk skuad negara, masalah itulah yang timbul. Tambahan pula sekarang ini Kim Swee tidak ada  pasukan 'back up' untuk memilih pemain-pemain selain hanyalah pasukan negeri sahaja.

"Sebelum ini, ketika saya membantu menguruskan skuad kebangsaan, manakala Kim Swee mengendalikan Bawah 23 Tahun, kami masing-masing bekerjasama sekiranya tidak cukup pemain. Saya ada menggunakan pemain-pemainnya. Namun sekarang semuanya sudah berbeza.

"Keadaan sekarang hanya berharapkan kebijaksanaan Kim Swee untuk mencari pemain-pemain di peringkat negeri sebelum memanggil mereka menyertai skuad negara. Jadi beri beliau masa untuk membuat pilihan yang tepat," jelasnya ketika ditemui mStar Online Isnin lalu.

Jelas Cheng Hoe Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) yang sedang dijalankan ini antara inisiatif terbaik untuk jangka masa panjang bola sepak negara, namun dalam tempoh terdekat ini, masalah pemain senior yang berkaliber menjadi faktor utama.

"Mungkin peralihan jurulatih dalam masa singkat menjadikan perancangan tidak berjalan lancar dan masih mencari keserasian. 

"Bagi saya, setiap pemain-pemain kebangsaan juga perlu menggunakan peluang beraksi dengan pasukan lebih baik seperti Arab Saudi atau  Emiriyah Arab Bersatu (UAE) agar dapat meningkatkan prestasi serta perbaiki kelemahan pada perlawananan-perlawanan seterusnya.

"Jangan harapkan jurulatih sahaja kerana setiap aksi yang dipamerkan akan memberi kesan kepada kedudukan pasukan negara. Seperti contoh, keputusan seri dengan Macau ketika perlawanan persahabatan antarabangsa baru-baru ini turut memberi kesan kepada kedudukan ranking pasukan negara.

"Jika bermain dengan pasukan yang lebih rendah ranking daripada kita, dan tidak menjaringkan gol ia menimbulkan pelbagai persepsi tidak baik sekaligus memberi kesan psikologi kepada pemain-pemain negeri yang lain.

"Mungkin pemain-pemain negeri atau kelab akan ada rasa bimbang dikecam jika bermain untuk negara dan gagal mempamerkan aksi baik. Sebab itulah, pemain-pemain kita perlu lebih fokus jika bermain dengan pasukan yang rankingnya lebih rendah dari kita," ujar Cheng Hoe.

Sumber: mStar