Hanya menggunakan tapak tangan, artis dari Perancis ini, Jordan Molina mampu menghasilkan lukisan ilusi optik yang sangat menakjubkan.
Molina yang juga dikenali sebagai TutoDraw, adalah pakar dalam lukisan dan arca yang menyerupai gambar beresolusi tinggi.
Dia berpendapat semua orang boleh belajar bagaimana untuk melukis dengan baik kerana ia hanya memerlukan minat yang mendalam.
Lukisan seperti lubang, kolam renang, rama-rama dan objek menyerupai tiga dimensi yang dilukis pada tapak tangannya benar-benar nampak nyata.
Mata penonton seolah-olah diperdaya untuk mempercayai yang Molina benar-benar memegang labah-labah atau luka pada tapak tangannya yang boleh ditutup dengan zip.
Bercakap mengenai minatnya terhadap seni, Molina, 22, berkata, dia terpaut dengan melukis ketika berusia 16 tahun lagi.
“Helah saya adalah memerhati dan memahami pembinaan lukisan itu sendiri.
“Saya sendiri memperbaiki lukisan berlatih melukis di atas kertas,” katanya.
Bagaimanapun, ujarnya, dia banyak dibantu dengan lukisan di Internet dan digital, terutamanya melukis di atas tablet grafik.
“Semua orang boleh belajar melukis jika ada minat, mungkin bukan dengan cara atau tahap yang sama.
“Apa yang pasti semua orang pasti boleh melakukannya,” jelasnya.
Sumber: myMetro