"Horizon": Kerbau Paling Mahal Di Dunia Bernilai RM47.8 Juta

HORIZON kerbau paling berharga.
JOHANNESBURG - Seekor kerbau dinamakan Horizon dilaporkan sebagai paling berharga di dunia apabila bernilai £8.5 juta (RM47.8 juta) disebabkan tanduknya yang berukuran 142 sentimeter.

Horizon sungguh berharga sehingga penjualan milikan sebanyak 25 peratus haiwan itu meraih lebih £2.1 juta (RM11.8 juta) kepada ahli perniagaan Afrika Selatan, Peter Bellingham, pada Februari lalu.

Horizon bagaikan lubuk emas dengan nilai tinggi terletak pada tanduknya yang luar biasa dan gen yang sempurna menyebabkannya menjadi buruan golongan penternak untuk membiakkan kerbau seumpamanya.

Pemilik taman rizab sering membeli kerbau untuk menarik pelancong dan Horizon memberi peluang untuk mereka membiakkan haiwan yang paling besar dan hebat.

Aktiviti memburu juga meraih keuntungan tinggi di Afrika, bererti kerbau dengan tanduk sehebat Horizon pasti menarik minat pemburu paling berpengalaman yang mahukan cabaran.

Horizon membiakkan anak berkualiti tinggi seterusnya nilai kerbau betina yang mengawan dengannya turut bertambah apabila kerbau bunting biasa bernilai £38,000 (RM214,000) manakala yang dibuntingkan Horizon pula lebih £121,000 (RM681,000).

Horizon kini dimiliki empat ahli perniagaan Afrika Selatan dan tinggal di ladang seorang pemiliknya, Piet du Toit di Rustenberg.

Setiap mereka mempunyai pegangan 25 peratus terhadap Horizon dan masing-maing dibenarkan mengawankannya dengan 10 kerbau betina setahun dengan hak terhadap anak dilahirkan.

Du Toit, 45, berkata: “Horizon bukan saja mempunyai tanduk yang hebat, malah sihat dan kerbau yang paling besar. Lazimnya tanduk kerbau cuma antara 91 sentimeter hingga 102 sentimeter.

“Jarang sekali kerbau jantan mampu menurunkan ciri-ciri genetik hebat kepada anaknya, tetapi Horizon menghasilkan anak yang sangat berkualiti tinggi dan ini menambah nilainya.” - Agensi