Ibtihaj Muhammad |
ISLAM tidak pernah melarang penganutnya untuk aktif bersukan. Malah Rasulullah SAW sendiri cukup menggemari sukan berkuda, memanah dan berenang. Ini kerana, baginda menyedari hanya fizikal cergas dan sihat sahaja mampu menjadikan amalan ibadat seseorang itu sempurna.
Seruan itu disahut sepenuhnya oleh seorang ahli lawan pedang pasukan Amerika Syarikat (AS) yang beragama Islam, Ibtihaj Muhammad. Sejak di bangku sekolah rendah dia menunjukkan minat mendalam terhadap sukan seperti renang, bola tampar, tenis, bola lisut dan balapan.
Walau bagaimanapun, dia lebih banyak berada di luar gelanggang kerana pakaian sukan berkenaan kurang bersesuaian iaitu tidak menutup lengan, kaki dan kepala.
“Memang suatu yang menyedihkan tetapi pada satu hari, ketika saya dan ibu melalui sebuah sekolah tinggi tempatan, saya ternampak sekumpulan pelajar sekolah perempuan bermain lawan pedang.
“Saya tertarik kerana tidak memerlukan menanggalkan hijab,” katanya kepada wartawan Wall Street Journal ketika menceritakan sejarah pembabitan awalnya dalam sukan berkenaan.
Namun pada hari ini, pembabitan Ibtihaj dalam sukan itu bukan hanya kerana minat tetapi berharap agar penampilannya dalam Sukan Olimpik Rio de Janeiro, Brazil nanti akan membantu mengubah sikap terhadap umat Islam di AS apabila menjadi atlet pertama negara itu yang memakai hijab.
Tempatnya yang berketurunan Afrika-Amerika dan berusia 30 tahun itu dalam pasukan Olimpik AS telah terjamin selepas memperoleh mata yang mencukupi di kejohanan Piala Dunia di Greece pada Januari lalu.
Ibtihaj meraih kejayaan bermakna itu ketika wujudnya suasana retorik anti-Islam yang tercetus apabila calon Presiden AS dari parti Republikan, Donald Trump bersumpah pada bulan Disember lalu untuk menghalang umat Islam daripada memasuki AS jika terpilih.
Calon Presiden AS dari parti Republikan, Donald Trump |
Namun bagi Ibtihaj, ketaksuban Trump itu bukanlah satu perkara baharu. Dia telah berdepan dengan diskriminasi sedemikian sejak zaman kanak-kanak apabila warna kulit dan hijab yang dipakainya sering menimbulkan provokasi mereka di sekelilingnya.
Justeru, dia berharap penyertaannya di sukan Olimpik itu boleh memainkan peranan kecil dalam proses mengubah sikap sedemikian dalam kalangan warga AS sendiri.
“Ini bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan kerana kita kini berada dalam persekitaran politik yang sukar. Saya tahu bahawa wanita Islam adalah sangat pelbagai, khususnya di AS. Kami datang daripada latar belakang, warna kulit dan saiz yang berbeza tetapi mampu menjadi warga AS yang produktif.
“Saya mahu masyarakat di AS melihat aspek tersebut bila bercakap tentang Muslim AS,” katanya yang enggan menggambarkan suasana kehidupan masyarakat Muslim AS sekiranya Trump terpilih untuk menduduki Rumah Putih pada November ini.
Sementara itu, ditanya mengenai beberapa kejadian orang Islam dihalang daripada menaiki kapal terbang, Ibtihaj turut mendedahkan bahawa dia turut mengalami nasib sama semasa menyertai pusingan kelayakan untuk ke Rio.
“Ini sesuatu yang saya perjuangkan setiap hari. Tetapi hari ini, saya amat bersyukur kerana diberikan platform sukan tersebut bagi menyebarluaskan ajaran Islam yang sebenarnya,” katanya.
Bila mengingati kegigihan Muslim AS sebelum ini yang berjuang menentang ketaksuban dan kebencian sedemikian, dia terasa seperti berhutang bukan hanya kepada diri sendiri tetapi kepada komuniti yang berusaha melawan sikap tersebut.
Sumber: Utusan