Ibu Bersalin Ketika Penerbangan Namakan Bayi "Jetstar"


CANBERRA - Tanpa disangka-sangka, seorang wanita telah melahirkan bayinya ketika dalam penerbangan Jetstar dan menamakan anaknya dengan nama syarikat penerbangan itu, lapor agensi berita Xinhua, China.

Ia menjadi satu penghormatan pelik untuk kakitangan penerbangan yang membantunya menyambut kelahiran bayinya.

Jetstar, anak syarikat penerbangan Australia, Qantas, membenarkan wanita yang sedang hamil untuk terbang pada usia kandungan akhir minggu ke-40 untuk penerbangan kurang dari empat jam, tetapi para penumpang terkejut apabila seorang wanita mahu melahirkan bayi semasa dalam penerbangan.

Pada Khamis, Fairfax Media di Australia melaporkan wanita itu, Saw Ler Htu, melahirkan bayinya semasa penerbangan dari Singapura ke Myanmar dengan bantuan anak-anak kapal dan tiga doktor dalam penerbangan itu, dan sebagai tanda terima kasih, dia menamakan anaknya Saw Jet Star.

Syarikat penerbangan itu menggunakan media sosial untuk menyampaikan khabar itu dan memuji anak-anak kapalnya yang mampu bertindak pantas 'membantu memastikan kelahiran penumpangnya yang paling muda.'

"Bayi lelaki itu dilahirkan dengan berat 2.92kg dan menjadi bayi pertama dilahirkan dalam penerbangan Jetstar Asia."

Syarikat penerbangan itu juga akan 'menyumbang barangan bayi bernilai S$1,000 (RM2,896) kepada keluarganya'.

Sumber: mStar