Siti Kholijah (kiri) sentiasa ditemani ibunya. |
BALING - Seorang ibu kepada empat anak yang hilang punca pendapatan setelah terlantar sakit akibat diserang penyakit ganjil di Kampung Sungai Tas di sini, merayu agar ada pihak sudi memberikan sumbangan lampin dan juga bantuan persekolahan.
Siti Kholijah berkata, akibat penyakit itu, dia hilang punca pendapatan bagi menampung seorang ibu dan empat anak dengan dua daripada mereka masih bersekolah.
Menurutnya, keluarganya yang tidak mempunyai sebarang pendapatan tetap hanya bergantung kepada bantuan orang ramai yang datang menziarahi mereka.
“Suami saya sudah meninggal, urusan keluarga sebelum ini diuruskan dengan pendapatan kerja kilang, sekarang saya memang tiada pendapatan untuk menanggung keluarga, tiada apa yang boleh dilakukan sejak sakit seperti ini.
“Saya juga perlu menanggung dua anak yang masih sekolah, dua lagi baru tamat belajar di tingkatan lima, manakala anak sulung pula sedang menuntut di Institut Kemahiran Mara (IKM) Sik,” katanya di sini, kelmarin.
Kata Siti Kholijah, keluarganya sudah menghantar permohonan bantuan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah.
“Permohonan itu atas nama emak memandangkan dia juga mempunyai masalah kesihatan, jika letak atas nama saya sekalipun, saya tidak boleh bergerak untuk ke bank,” katanya.
Tambahnya, hidupnya bertambah perit kerana penyakit itu menyebabkan dia langsung tidak boleh makan walaupun hanya sebutir nasi.
Katanya, segala makanan yang cuba untuk ditelan akan diluakkan semula dan perkara itu berlaku selepas terlantar sakit sejak beberapa bulan lalu tanpa diketahui puncanya.
“Saya memang tak boleh makan langsung apa-apa makanan, bila ditelan dan makanan sampai ke tekak, tapi tak boleh masuk dan saya termuntah semula,” katanya sedih.
Siti Kholijah berharap ada pihak sudi meringankan beban yang ditanggung keluarganya ketika ini.
Kepada mana-mana pihak yang sudi menghulurkan bantuan boleh menyalurkan sumbangan ke Bank Simpanan Nasional (BSN ) di nombor akaun 02126-29-00024512-0 atau hubungi keluarga ini di talian 013-4308461.
Sumber: Sinar Harian