Ibu Muda Di Kulim Dapat 7 Jahitan Terkena Piring "Terbang"

Nenek mangsa menunjukkan bahagian kepala cucunya yang telah dijahit akibat dibaling piring oleh suspek.
KULIM - Seorang ibu muda berusia 19 tahun di sebuah kampung di daerah ini menerima tujuh jahitan akibat terkena piring yang dibaling bapa saudaranya dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi kelmarin.

Mangsa, Nora (bukan nama sebenar) dipercayai berada di rumah bersama lima sepupu dan seorang anaknya, termasuk suspek berusia 28 tahun.

Hanya disebabkan sedikit salah faham, suspek tiba-tiba melemparkan piring yang diletakkan di atas meja makan di dapur sehingga menyebabkan mangsa terpaksa dikejarkan ke hospital dan diberi enam jahitan di bahagian kiri kepala.

Menurut Nora, segalanya bermula apabila dia bertanya kepada bapa saudara mengenai lampin pakai buang anak saudaranya yang berusia dua tahun.

“Masa tu ramai ada di dapur, termasuk nenek, bapa saudara dan anaknya. Saya tengok anaknya tak pakai lampin, jadi saya tegurlah kenapa tak bagi pakai.

"Pada mulanya dia baling cawan kat saya, terkena kaki kanan tapi tak luka. Saya tanya kenapa buat macam tu. Dia tuduh saya suka bercerita tentang dia kepada orang,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, disebabkan bayinya kelaparan, dia terus membancuh susu dengan membelakangkan suspek di dapur.

“Saya tak fikir pula dia nak terus cederakan saya, saya tak nampak dia ambil piring dan lempar pada saya.

“Masa tu saya tak rasa sakit pun, tapi tiba-tiba nampak darah mengalir basah ke dahi dan muka. Saya terus menjerit minta tolong,” katanya.

Tambahnya, ketika itu juga, suspek asyik mencabarnya supaya melaporkan kepada polis dan memberitahu semua orang tanpa menunjukkan rasa bersalah.

“Dia cakap pergi beritahu semua orang dia buat saya, pergi lapor polis. Dia tak takut semua itu,” katanya.

Dalam pada itu, ibu mangsa berkata, dia bergegas pulang ke rumah sebaik sahaja menerima panggilan daripada saudara yang lain.

“Saya masa tu dalam perjalanan ke pekan Kulim sebab ada urusan. Sebaik terima panggilan telefon, saya bergegas balik dan tengok muka dan baju anak dah berlumuran darah.

“Neneknya hanya bagi sehelai tuala nak hentikan darah. Masa tu adik dah tak ada di rumah," katanya.

Katanya, laporan polis telah dibuat kira-kira jam 3.15 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim.

Menurutnya, suspek yang juga adik bongsu daripada 10 beradik itu berubah sikap sejak sembilan bulan lalu apabila sering memarahi mereka sekeluarga termasuk ibunya.

“Sebelum ini dia baik tak ada nak buat perangai, tapi sembilan bulan lepas, perangai dia mula berubah. Makin teruk sejak empat bulan kebelakangan ini.

“Dia ugut ibu saya kalau tak bagi duit. Disebabkan risau keselamatan ibu, saya dan anak-anak duduk sini.

“Bila saya tanya apa masalah yang dihadapinya, dia tak mahu jawab. Tapi bila tegur mesti dia akan jerkah atau lepaskan kemarahan kat anak-anak," katanya.

Sumber: Sinar Harian