Abd Ghani menunjukkan kolam ternakannya. |
PENDANG - Seorang penternak ikan kerugian hampir RM3,000 apabila hasil ternakannya mati dipercayai akibat cuaca panas yang melanda negeri ini sejak awal tahun.
Abd Ghani Abdullah, 75, berkata, ikan jenis talapia merah yang diternaknya dalam dua buah kolam sejak Oktober lalu didapati mati sedikit demi sedikit sejak Januari lalu.
“Kira-kira 200 lebih ikan ditemui mati dan terapung sejak Januari lalu hingga kolam saya akhirnya kosong dan kini terbiar,” katanya, kelmarin.
Menurutnya, selepas mendaftar sebagai penternak ikan bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), dia menerima 2000 benih anak talapia merah dan 30 beg makanan ikan.
“Sehingga kini makanan ikan itu masih berbaki 22 beg kerana sudah tidak digunakan lagi sejak semua ikan mati,” katanya.
Abd Ghani berkata dua kolam miliknya kini terbiar tidak terurus, selepas kesemua ikan tiada menyebabkan air kolam bertukar warna akibat tercemar.
“Talapia merah adalah spesies ikan yang tidak tahan dengan cuaca panas, jadi, tidak mustahil spesies ini terjejas akibat El Nino,” katanya.
Menurutnya lagi, talapia merah terbabit dijual kepada penduduk setempat dengan harga RM7 sekilo.
“Sejak kejadian itu berlaku, saya kini hilang punca pendapatan,” katanya.
Sumber: Sinar Harian