KUALA LUMPUR - Seorang lelaki dihukum penjara 24 bulan dan didenda RM4,900 oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini selepas mengaku bersalah membuat dakwaan palsu dengan mengisytiharkan diri sendiri sebagai Imam Mahdi.
Hakim Syarie Mohd Amran Mat Zain menjatuhkan hukuman itu terhadap Mat Alimin Abdullah, 36, mengikut Seksyen 6 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.
Mahkamah turut memerintahkan Mat Alimin dipenjara enam bulan lagi sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Mohd Amran berkata pegangan akidah merupakan satu daripada perkara dalam teras keimanan umat Islam dan tidak boleh dicampur aduk dengan perkara-perkara lain yang membolehkan timbul keraguan dalam seseorang individu.
"Mahkamah berpuas hati dengan rayuan yang dikemukakan oleh tertuduh untuk tujuan meringankan hukuman dan hujahan pendakwaan untuk pemberatan hukuman. Sehubungan dengan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM4,900 dan penjara 24 bulan," kata hakim.
Mat Alimin didakwa melakukan kesalahan tersebut dengan melafazkan "Sekiranya saya benar, siapa yang mempermainkan saya, mendustai saya, saya serah kepada Allah, sebab orang yang bercakap pada hari ini Muhammad Al-Mahdi utusan Allah.
"Sekiranya benar saya utusan Allah siapa yang mempermainkan saya akan dilaknat oleh Allah. Ini janji Nabi Muhammad akhir zaman nanti akan keluar umatku namanya seperti namaku, berasal dari keturunanku, nama bapanya seperti nama bapaku dan keluar dari arah Timur."
Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di dalam bilik mesyuarat Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di Tingkat 10, Menara Pusat Islam, Jalan Perdana, di sini, antara pukul 3 petang hingga 3.30 petang, Selasa (26 April).
Terdahulu dalam rayuannya, Mat Alimin yang tidak diwakili peguam, merayu kepada mahkamah agar hanya mengenakan hukuman denda yang ringan kerana perlu menanggung dua anaknya yang masih bersekolah dan kini hanya bekerja sendiri.
Ketika hakim bertanya mengenai latar belakang, sejarah kesihatan dan tahap pendidikan, tertuduh berkata dia berpendidikan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan tidak pernah mendapat rawatan psikiatri dari mana-mana pusat perubatan.
Pegawai Pendakwa dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Zainol Rashid Hasin, berhujah tertuduh dalam keadaan kesihatan yang baik dan waras ketika melakukan kesalahan dan wajar mendapat hukuman berbentuk pemenjaraan. -Bernama