Imuniti Ahli Parlimen Terlucut Jika Lakukan Jenayah

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli
KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dan mana-mana ahli Parlimen yang melakukan sesuatu kesalahan jenayah, mereka tidak kebal daripada sebarang tindakan undang-undang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ahli Parlimen terbabit tidak diberikan imuniti sekiranya terlibat dengan kesalahan jenayah.

"Saya berpendapat bahawa Seksyen 7 Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 tidak memberi imuniti kepada ahli-ahli Parlimen dalam melakukan sesuatu kesalahan jenayah.

"Penahanan Rafizi pada 5 April lalu adalah selaras dengan peruntukan Seksyen 15 Kanun Tatacara Jenayah. Ia bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau mengulas, kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mengesahkan penahanan Rafizi di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 menerusi akaun Twitternya, semalam.

Rafizi ditahan dipercayai kerana mendedahkan dokumen Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang mendakwa ia membuktikan hubungan antara 1MDB dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Pendedahan maklumat sulit itu diklasifikasikan sebagai OSA 1972.

Sementara itu, Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke mendakwa, tindakan Azalina itu cuba melangkaui kuasa Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia untuk membuat keputusan berhubung penahanan Rafizi itu.

"Sekali lagi beliau menunjukkan tindakan melanggar kuasa Speaker, sepatutnya bila speaker, dia kena kaji dulu, lihat di mana pekarangan Parlimen itu dulu.

"Kuasa Azalina ini lebih tinggi daripada speaker. Ini bukan Putrajaya, ini Parlimen. Pihak berkuasa tertinggi di Parlimen ialah speaker Dewan Rakyat, bukan menteri yang jaga Parlimen," katanya.

Sumber: Sinar Harian