MANFAATKAN masa bersara untuk merancang kehidupan yang lebih teratur khususnya untuk agama, diri, keluarga dan masyarakat. - GAMBAR HIASAN |
HAMIDAH runsing apabila melihat suaminya kian menjadi-jadi. Ingatkan bila bersara, dia dapat meluangkan lebih banyak masa dengan Hamzad, tetapi sebaliknya pula terjadi. Hamzad seakan mendapat ‘kebebasan’ baharu sebaik bergelar seorang pesara.
Setiap malam, dia akan keluar bertemu dengan rakan-rakan seangkatan dengannya. Selagi jam tidak menunjukkan angka 12, selagi itulah batang hidungnya tidak muncul di muka pintu. Bila ditanya, ada sahaja alasannya.
Katanya, inilah masanya bertemu dengan rakan-rakan setelah tidak berkesempatan berbuat demikian sebelum ini kerana terikat dengan tugasan sebagai penjawat awam.
Hakikatnya, Hamidah tidak pernah menghalang suaminya bertemu dengan kawan-kawannya. Tetapi berpada-padalah. Suaminya berlagak mengalahkan orang muda. Belanja kawan-kawan seolah-olah tiap-tiap hari mendapat ‘durian runtuh’.
Bila ditegur, sekali lagi dia menjawab, selama ini dia penat bekerja hanya untuk memenuhi keperluan keluarga dan anak-anak. Kini masanya untuk membelanjakan duit untuk dirinya sendiri dan berseronok dengan kawan-kawan.
Paling merunsingkan Hamidah, apabila urusan keagamaan juga dipandang enteng oleh Hamzad. Katanya, berilah ruang seketika untuknya berseronok dan selepas itu barulah memikirkan apa yang perlu dilakukan untuk bekalannya ke ‘dunia’ baharu. Hamidah takut, kalau-kalau suaminya tidak sempat untuk melakukannya.
Pandangan kaunselor
Kata orang, menjalani kehidupan sebagai orang pencen, sememangnya satu kebahagiaan. Bebas daripada segala bebanan kerja dan yang lebih penting tidak lagi terikat dan terkejar-kejar dengan waktu.
Segala perkara akan ditentukan sendiri tanpa perlu menunggu ‘arahan’ orang atas. Apatah lagi bagi mereka yang ‘bergelumang’ dengan kehidupan kota yang hiruk-pikuk dan kesesakan jalan raya yang terpaksa ditempuh setiap hari.
Tidak cukup dengan kerja di pejabat, seorang pekerja juga perlu terlibat dengan kursus atau program arahan majikan demi meningkatkan keupayaan bekerja. Apabila sampai waktu petang, sekali lagi keadaan akan menjadi kelam kabut untuk pulang menjemput anak dan balik ke rumah dengan tugasan sebagai isteri atau suami yang sedia menanti.
Daripada memasak, mengemas, melipat kain, dan pelbagai lagi urusan lain, kerja-kerja ‘tambahan’ tersebut seakan tidak pernah selesai. Dan esok, rutin sama sedia menanti.
Dapat dibayangkan, tempoh 60 tahun menghadap rutin yang sama, sudah tentu membosankan. Lantas apabila tiba waktu persaraan, ‘dunia ini ibarat ana yang punya!’.
Lepas sudah segala bebanan tanggungjawab yang perlu dipikul. Anak-anak juga sudah membesar dan ada yang sudah berumah tangga. Apa lagi yang perlu dilakukan melainkan suami akan menghadap muka isteri dan begitulah sebaliknya.
Inilah yang dikatakan sebagai fasa ‘honey moon’ untuk pasangan suami isteri yang selama ini sibuk dengan tugasan masing-masing.
Namun demikian, bukanlah semua orang yang bersara merasa nikmat bahagia menerima wang pencen setiap bulan. Ada di antara mereka yang menderita selepas bersara akibat peristiwa yang tidak dijangka. Sebagai contoh sebagaimana kisah yang dipaparkan di atas apabila dunia persaraan ibarat ‘neraka’ yang membakar diri.
Semua ini berlaku apabila pasangan tidak mampu membuat perancangan awal dan terbaik untuk menjalani kehidupan sebagai seorang pesara. Timbunan wang gratuiti yang diperoleh sebagai ganjaran selama berkhidmat, membuatkan seseorang mudah lupa.
Ada yang mula bergaya dengan kereta baharu, membeli rumah baharu dan tidak kurang cuba berlagak muda dengan mengintai mana-mana calon yang sesuai untuk dibuat isteri baharu.
Lupa seketika, harta pemberian Allah adalah ujian untuk mereka. Sememangnya tidak salah seorang suami mahu menikmati wang pencen hasil kepenatan bertahun-tahun bekerja. Namun bukankah isteri juga memberikan sumbangan tenaga dan hartanya untuk kebahagiaan bersama?
Hakikatnya, fenomena suami berubah selepas bersara telah banyak terjadi. Seakan terlupa seketika dengan usia yang semakin lanjut, tubuh badan tidak akan selamanya kekal sihat tanpa penyakit.
Bila sihat tidak disyukuri, sakit akan datang untuk menjadi pengajaran kehidupan. Allah berfirman yang bermaksud;
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintah-Nya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi.”- al-Munafiquun : 9
Sementara itu Rasulullah SAW juga mengingatkan manusia agar tidak sombong kepada Allah yang memberikan nikmat kepada hamba-Nya. Sabda baginda:
“Tidak akan terlepas kedua-dua kaki seorang hamba itu semasa (berada di Padang Mahsyar) pada hari kiamat sehingga disoal kepadanya empat soalan, tentang umurnya, di manakah dihabiskan?; tentang zaman mudanya, bagaimana digunakan?; tentang hartanya, bagaimana diperoleh dan bagaimana digunakan?; tentang ilmunya, apakah diamalkan dengannya?,” - Riwayat Tirmizi
Sumber: Utusan