TUA, lemah dan mati! Itulah tiga penyakit yang sangat ditakuti manusia. Kerana kemuncak kegentaran itu, pelbagai usaha dilakukan bagi menjamin jasad fana mereka tidak dijamah sakit tua, lemah dan mati.
Natijahnya, banyak produk kecantikan anti penuaan muncul dalam pasaran.
Manusia sanggup berhabis wang ringgit bagi mengelakkan dipandang lemah atau tua. Jika ada produk kebal mati pun manusia akan bertambah ghairah mengejarnya. Takut atau berani, mahu atau enggan, manusia tetap tidak dapat lari daripada sumpahan tua, lemah dan mati:
“Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu Dia menjadikan kamu kuat. Setelah itu Dia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban. Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya dan Dia lah jua yang Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa,” (al-Rum [30:54]).
Sering kita saksikan bagaimana penyakit tua menampakkan kelemahan manusia.
Orang berusia lanjut ada yang nyanyuk dan berperangai seperti kanak-kanak. Jika kanak-kanak senang didokong apabila meragam, namun jasad orang tua yang bersikap seperti kanak-kanak bukan mudah mahu ditatang. Berikutan itu, Rasulullah SAW mengajarkan kita doa bagi mengelakkan tua nyanyuk:
“Ya Allah! Aku mohon perlindungan-Mu daripada (sifat) bakhil. Aku juga mohon perlindungan-Mu daripada (sifat) penakut, Aku juga mohon perlindungan-Mu daripada dilanjutkan usia sehingga tua nyanyuk. Aku juga mohon perlindungan-Mu daripada ujian dunia dan aku juga mohon perlindungan-Mu dari azab kubur,” - Sahih Bukhari).
SUDUT POSITIF
Walaupun tua kelihatan lemah, namun ada kebaikan padanya. Jiwa mereka tenang, pengalaman panjang meniti usia membantu mereka mengenal mana garam, gula, kaca dan permata sebenar.
Sebut sahaja ketakutan manusia kepada tua, lemah dan mati, rupanya masyarakat purba pernah membicarakan kewujudan kisah “air ajaib” yang boleh melanjutkan usia dan mengekalkan keremajaan. Ia dikhayalkan dengan nama “ainul hayat” (air kehidupan), air atma jiwa dan fountain of youth.
Kisah pencarian fountain of youth turut diepikkan dalam filem Pirates of Carribean lakonan Johnny Depp. Soalannya, adakah ia benar wujud dan apa kata al-Quran dan Sunnah tentang khayalan ini. Setelah meneliti beberapa kitab tafsir, saya menemui dua kisah yang menceritakan wujudnya air ini:
- Satu kisah yang dikaitkan dengan pengembaraan nabi Musa a.s. bersama muridnya Yusya’ bin Nun mencari Khidir a.s. Ketika mereka singgah berehat di sebuah batu, berlaku keajaiban sebagaimana direkodkan al-Quran:
“Maka apabila mereka berdua sampai ke tempat pertemuan dua laut itu, lupalah mereka akan hal ikan mereka, lalu ikan itu menggelongsor menempuh jalannya di laut, yang merupakan lorong di bawah tanah,” (al-Kahf [18:61]).
Ketika berhenti rehat di tempat pertemuan dua laut itu, Yusya’ mengambil wuduk dan air itu rupanya ainul hayat. Percikan air wuduk Yusya’ terkena ikan bekalan mereka yang sudah mati lalu ikan itu hidup dan meluncur ke laut (Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Baghawi).
Tempat itulah yang menjadi tempat tinggal Khidir a.s. yang dikaitkan dengan kelebihan hidup kekal sehingga kiamat. Walau bagaimanapun, kisah ini tergolong riwayat Isra’iliyyat. Tambahan pula, ikan bekalan yang hidup kembali di tempat itu berkait rapat dengan mukjizat nabi Musa a.s. yang menjadi tanda sampainya baginda ke tempat arahan Allah (Tafsir al-Munir).
- Kisah Zulkarnain yang berkawan dengan satu malaikat bernama Ranaqil atau Rafa’il atau Zarfa’il. Malaikat itu memberitahu Zulkarnain tentang ainul hayat yang mampu mengekalkan keremajaan. Air tersebut terletak di sebuah dunia gelap.
Baginda pun keluar mengembara bersama pasukannya mencari air tersebut. Antara yang terlibat dengan pengembaraan tersebut adalah Khidir a.s. Akhirnya Khidir berjaya menemukan air itu tetapi gagal ditemukan oleh Zulkarnain. Berikutan kesempatan Khidir mandi dan minum daripada air itu, beliau dikekalkan hidup sehingga akhir zaman (Tafsir al-Durr al-Manthur Fi Tafsir bi al-Ma’thur, Tafsir al-Tha’labi, Tafsir al-Nasafi). Kisah ini juga tergolong dalam riwayat Isra’iliyyat yang tidak dapat ditentukan kesahihannya.
Para pengkaji hadis menolak riwayat tersebut kerana ia mempunyai kecacatan dalam rantaian sanadnya. Bagi yang mampu membaca Arab boleh merujuk pada link ini: http://www.ahlalhdeeth.com/vb/showthread.php?t=329628. Selain itu, sesetengah ulama menolak dakwaan Khidir masih hidup sampai akhir zaman dengan banyak hujah, antaranya Firman Allah:
“Dan Kami tidak menjadikan seseorang manusia sebelummu dapat hidup kekal (di dunia ini). Maka kalau engkau meninggal dunia (wahai Muhammad), adakah mereka akan hidup selama-lamanya? Setiap jiwa akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan,” (al-Anbiya’ [21:34-35]).
PENJELMAAN SEMULA
Bila sains berkembang dengan pesat, cerita hikayat ainul hayat semakin dilupakan. Pun begitu, ia tetap menjelma dalam dimensi lain yang lebih agresif iaitu kebanjiran produk kecantikan “lupa mati” yang dislogankan dengan keajaiban anti penuaan.
Bukanlah saya ingkar ilmu Allah pada perkembangan Sains, tapi usahlah begitu ghairah membelai fizikal kerana bimbang dihinggapi penyakit tua, lemah dan mati sehingga lupa akhirat. Nak mati atau tak mahu mati, semua manusia tetap akan mati walau sekuat mana sekalipun sistem kawalan peribadi dilakukan:
“Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng yang tinggi lagi kukuh,” (al-Nisa’ [4:78])
Jangan terlalu berangan-angan ingin hidup lama. Apa guna hidup lama jika hanya dosa dihimpun memenuhi “memori kad amalan” kita? Jangan sampai amaran Rasulullah SAW ini terkena kepada kita. Sabda baginda:
“Hati orang berusia (tua) sentiasa muda pada dua perkara iaitu cintakan dunia dan angan-angan yang panjang,” - Sahih Bukhari.
Yang gugur bukan semuanya tua dan masak. Banyak sekali yang gugur akibat dipukul ribut dan angin kencang. Jika yang muda boleh gugur bila-bila masa sahaja, yang tua pastinya lebih mudah tercabut tangkai dek lemahnya otot di badan.
Jika melihat kedut wajah atau uban rambut di cermin, usahlah kalut mahu mencari ainul hayat atau produk anti penuaan. Sebaliknya bersyukurlah kerana Allah memberikan peluang hidup di dunia bagi menyimpan bekal dibawa ke alam sana.
Jangan takut tua, lemah atau mati sebaliknya takutlah kerana tidak bersedia untuk bertemu Allah.
Sumber: Utusan