#Islam: Nak Tuntut Hak Pun Ada Batas-Batasnya...


SETIAP individu sepatutnya memahami sejauh mana hak dan kebebasan yang boleh dan perlu dituntut dalam setiap aspek kehidupan. Konsep hak dan kebebasan adalah berbeza di antara satu masyarakat dengan masyarakat lain. Masyarakat yang mempunyai latar belakang sekular dan tidak terikat dengan tradisi agama beranggapan bahawa setiap aspek kehidupan perlu dituntut tanpa me­ngira budaya dan agama.

Golongan yang didedahkan de­ngan pemahaman sekular begini akan menuntut hak dan kebebasan daripada setiap masyarakat tanpa menghirau pemahaman akidah, budaya, sensitiviti dan corak kehidupan masyarakat beragama.

Konsep universaliti yang mengenepikan hak masyarakat beragama semakin hari kian menular apabila terdapat golongan tertentu merasai diri mereka lebih pakar dalam hal ehwal agama masyarakat lain walaupun mereka hanya terdedah dalam ilmu agama itu dalam jangka masa pendek dan ilmu yang dituntut itu adalah terlalu terbatas.

Islam adalah agama yang menekankan aspek akidah, syariah dan akhlak. Setiap ilmu berkaitan bidang tersebut adalah berdasarkan kepada wahyu Ilahi dan panduan daripada Rasulullah SAW. Wahyu Ila­hi adalah perundangan dan sistem kehidupan umat Islam diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW selama 23 tahun.

Kehidupan umat Islam ti­dak boleh disamakan dengan ma­sya­rakat bukan Islam terutama berkaitan urusan peribadi dan hal ehwal umat Islam. Hanya umat Islam yang layak mengendalikan urusan keperibadian dan kemasyarakatan umat Islam.

Masyarakat bukan Islam diberi hak dan kebebasan untuk mengendalikan urusan keperibadian, kemasyarakatan dan keagamaan mereka. Mereka mempunyai hak yang sama untuk mentadbir dan memerintah negara berdasarkan kepada Perlembagaan negara yang digariskan bersama.

Umat Islam tidak mempunyai hak dan kebebasan untuk mencampuri hal ehwal keperibadian, kemasyarakatan dan keagamaan masyarakat bukan Islam. Islam memperakui hak dan kebebasan masyarakat bukan Islam dalam negara Islam.


Apabila Islam memberi hak kepada masyarakat bukan Islam mengendalikan hal ehwal negara bersama umat Islam berdasarkan kepada Perlembagaan negara, maka masyarakat bukan Islam perlu memahami kebebasan itu bukan bererti mereka boleh mencampuri hal ehwal peribadi dan kemasyarakatan umat Islam yang mempunyai kaitan dengan hukum hakam Islam.

Individu dan masyarakat Islam yang menghadapi permasalahan peribadi berhubung kait rumah tangga dan sebagainya perlu merujuk kepada hukum hakam yang digariskan oleh Allah dan Rasul.

Hanya ulama, kadi dan individu yang mahir dalam perundangan berkaitan urusan ini layak me­ngendalikan kes-kes tersebut. Pro­ses mempelajari ilmu wahyu adalah satu tempoh masa yang lama.

Individu-individu yang mahir dalam ilmu wahyu mempelajari ilmu tersebut melebihi 10 tahun lamanya. Ilmu yang dipelajari me­rangkumi ilmu-ilmu akidah, fikah, kesusasteraan Arab, bahasa Arab, disiplin mentafsir al-Quran dan hadis, sejarah Islam dan seumpamanya. Perundangan Islam adalah sistem berteraskan kepada wahyu Ilahi dan panduan daripada Rasulullah SAW.

Hanya orang Islam yang mempercayai Allah Yang Maha Esa sahaja yang dapat mengendalikan kes berkaitan keperibadian dan ke­masyarakatan Islam dalam mah­kamah syariah. Individu Islam yang tidak didedahkan dengan ilmu Turath juga kurang berkeupayaan untuk dilantik sebagai hakim atau peguam dalam mahkamah syariah.

Jika individu tersebut dilantik menjadi hakim atau peguam maka permasalahan keperibadian umat Islam sukar untuk dikendalikan secara berhemah.

Perkara berkaitan peribadi umat Islam terutamanya hal ehwal rumah tangga mempunyai hubung kait dengan hukum hakam Islam. Permasalahan perceraian misalnya, suami dan isteri lebih cenderung kepada emosi dalam menyelesaikan permasalahan mereka.

Masing-masing ingin menunjukkan mereka adalah di pihak yang benar. Dalam keadaan begini sukar untuk menentukan siapa yang benar atau salah jika permasalahan mereka tidak dirujuk kepada hukum hakam Islam berkaitan hak dan tanggungjawab suami isteri dalam Islam.

Perkahwinan dalam Islam tidak boleh disamakan dengan perkahwinan masyarakat agama lain ke­rana hak dan tanggungjawab suami dan isteri lebih menjurus kepada konsep amanah yang mana kedua suami isteri perlu menghormati dan memahaminya bagi menjamin kebahagiaan rumah tangga.

Mungkin masyarakat agama lain beranggapan bahawa hukum hakam rumah tangga dalam Islam lebih menjurus kepada mempertahankan hak lelaki daripada wanita jika orang yang mengendalikan kes rumah tangga umat Islam berfahaman liberal atau feminisme.


Jika peguam yang mengendalikan kes tersebut bukan Islam atau dari kumpulan feminist maka tuntutan di mahkamah syariah lebih sukar untuk mempertahankan ke­adilan bagi kedua suami isteri.

Oleh itu, individu Islam yang mempunyai kefahaman yang mendalam berkaitan hukum hakam rumah tangga sahaja dapat mengetahui sama ada suami atau isteri yang tidak bertanggungjawab kerana da­lam hal ehwal rumah tangga baik atau buruk suami atau isteri adalah bergantung kepada sejauh mana mereka melaksanakan tugas sebagai isteri atau suami.

Hanya peguam dan hakim yang memahami secara mendalam serta mempunyai ketakwaan sahaja dapat mengklasifikasikan suami atau isteri yang benar atau salah.

Dalam konteks kehidupan masa kini di mana konsep perkahwinan umat Islam kian terpesong dari hukum hakam Allah maka peguam dan hakim di Mahkamah Syariah perlu terdiri daripada individu-individu yang beragama Islam dan pakar dalam hal ehwal hukum hakam.

Kecuaian dalam aspek ini boleh menyebabkan kes perceraian dan sebagainya sukar untuk ditangani lantaran kurang kepakaran dan pemahaman dalam hukum hakam berkaitan dengan urusan peribadi umat Islam.

*Prof. Madya Dr. Saodah Abd. Rahman, Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia/Utusan