Istimewa, Hebatnya Dr Zakir Naik Di Pandangan Umat Islam


RAMAI tertarik dengan kepetahan pendakwah dan pemidato terkemuka antarabangsa, Dr. Zakir Naik memetik rujukan demi rujukan nas-nas al-Quran dan kitab-kitab agama lain dalam ceramahnya. Namun tidak ramai yang mengetahui bahawa beliau gagap sejak daripada kecil. Apabila ditanya namanya dulu sebelum berkecimpung dalam dakwah, beliau akan menjawab Za, Za, Za, Zakir...

Beliau mula terlibat dengan dakwah kerana mendapat inspirasi daripada gurunya iaitu Sheikh Ahmed Deedat Rahimahullah. Apabila beliau menubuhkan Islamic Research Foundation (IRF) pada 1991, beliau tidak berhasrat atau terfikir untuk menjadi penceramah. Malah, beliau juga tidak mampu untuk berceramah di hadapan 20 orang. Namun apabila suatu hari ketika penceramah tidak hadir, beliau terpaksa menjadi bidan terjun mengantikan penceramah yang tidak hadir.

Sebelum ceramah beliau menjangkakan tidak akan dapat bertahan lebih daripada 20-30 minit tetapi akhirnya ceramah itu berlangsung sehingga tiga jam tanpa gagap! Di situlah bermulanya beliau menjadi seorang penceramah dan tidak lagi menoleh ke belakang.

Lebih menarik lagi, beliau meminta ibu bapanya untuk mencarikan jodoh untuknya kerana beliau sibuk berdakwah. Ketika hari pernikahannya, tetamu hanya dihidangkan dengan air dan juga buah kurma serta sedikit jamuan ringan bukan kerana keluarganya tidak mampu tetapi beliau mahu belanja yang sepatutnya digunakan untuk majlis tersebut digunakan untuk dakwah.

Selain itu, bapanya juga ingin memberikan hadiah pernikahannya sebuah kondominium tetapi beliau meminta bapanya membeli sebuah pejabat sebagai pusat operasi kegiatan dakwahnya. Dr. Zakir datang daripada keluarga yang terkenal dengan kerja-kerja kebajikan di Mumbai, India.

Jikalau beliau mahu, boleh sahaja dibelinya rumah banglo dan duduk di kawasan elit di Mumbai.

Tetapi rumah yang Dr. Zakir duduki sekarang saiznya adalah lebih kurang saiz rumah flat Projek Perumahan Rakyat di negara ini. Beliau amat kedekut berbelanja untuk dirinya tetapi sanggup berbelanja mewah dan efektif demi Islam.

Maklumat menarik itu dikongsikan oleh protege DZN, Firdaus Wong Wai Hung, 33, pengasas sebuah pertubuhan dakwah Islam, Muslim Revert Malaysia (MRM) yang giat menyebarkan dakwah dengan cara yang tersendiri. Anak muda ini pernah menyertai International Da’wah Training Programme (IDTP) kelolaan IRF yang berlangsung di Mumbai dari 16 Januari hingga 29 Februari lalu.

“Ketika IDTP, kami sebagai peserta mengadu hanya dapat tidur antara tiga dan empat jam sehari tetapi Dr. Zakir hanya tidur secara purata sejam sehari sepanjang IDTP berlangsung. Ketika tiada IDTP, beliau tidur tidak lebih daripada tiga jam sehari.

“Menurut sahabat kami yang juga anaknya iaitu Fariq Naik, beliau pernah melihat bapanya tertidur dalam posisi terduduk di meja makan sambil tangannya masih memegang pen dengan kitab-kitab terbentang dan apabila terbangun beliau akan sambung membaca dan mengkaji serta menulis,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Dr. Zakir amat istimewa. Beliau bukan sahaja mampu memetik hujah nas-nas al-Quran siap dengan nama surah dan bilangan ayat tetapi mampu menyebut rujukan kitab agama lain seperti Bible, Upanishad, Puranas, Vedas, Manusmriti, Tipitaka, Grant Guru Sahib dengan lancar dan tepat sekali.

Itulah Dr. Zakir pemegang ranking ke-70 dalam senarai 500 Most Influential Muslims in the World sejak tahun 2011. Jawapannya yang bernas, kritikal dan logik dalam ceramahnya antara faktor menjadikannya fenomena di seluruh dunia - disegani dan dihormati oleh kawan serta lawan.

Pendekatan beliau yang berdakwah secara hujah lawan hujah dilihat amat berkesan, tambahan pula ia dijawab secara spontan. Kata Firdaus, kemampuan Dr. Zakir menilai soalan yang diajukan adalah antara kekuatannya.

Beliau tidak akan menjawab sesuatu persoalan berdasarkan pandangannya sendiri tetapi akan memetik rujukan daripada kitab agama, statistik sains, fakta berserta rujukan serta logik yang memudahkan orang lain memahami jawapan seterusnya menerima jawapan yang diberikan.

“Pernah ketika IDTP, kami melihat sendiri kehebatannya menganalisis soalan dengan begitu teliti. Ketika sesi latihan menjawab soalan, saya menjawab dengan memetik ayat-ayat al-Quran, Bible, Vedas dan rujukan yang berkaitan.

“Dr. Zakir bertanya kepada semua peserta berapakah markah untuk jawapan saya. Ada peserta memberikan 80 markah dan tidak ada yang kurang daripada 50 markah kepada jawapan saya. Sebaliknya, beliau memberikan markah kosong. Kami semua terkejut dengan pemarkahan itu,” katanya.

Mematangkan

Jelas Firdaus, Dr. Zakir kemudiannya menerangkan selama 45 minit mengapa beliau memberikan markah tersebut. Beliau menganalisis satu persatu jawapan dan rujukan daripada soalan yang diajukan sehingga semua daripada kami memahaminya serta bersetuju dengan markah kosong yang diberikan.

“Soalan kedua saya juga mendapat markah kosong dan hanya soalan ketiga mendapat 25 markah sahaja. Namun yang lebih mengejutkan adalah apabila selesai latihan teknik menjawab soalan, beliau meletakkan saya sebagai peserta kedua terbaik dalam teknik menjawab soalan di belakang anaknya.

“Kami sekali lagi terkejut. Bagaimana seseorang yang mendapat hanya 25 markah untuk tiga soalan mendapat tempat kedua? Sekali lagi beliau menerangkan kepada kami bahawa soalan yang diberikan serta teknik menjawab, rujukan yang diberikan serta gaya berpidato menyebabkan beliau membuat keputusan itu,” katanya.

Menceritakan pengalaman beliau menjadi protege Dr. Zakir, Firdaus menjelaskan bahawa ia merupakan sesuatu yang tidak akan dilupakan sehingga bila-bila.

“Hafalan demi hafalan, tekanan demi tekanan, cabaran demi cabaran kami harungi sebelum IDTP bermula sehingga berakhirnya program tersebut. Semua peserta keluar ke studio pukul 7 pagi dan secara purata menjalani latihan selama 12 hingga 14 jam sehari dan adakalanya pernah sehingga 21 jam apabila program berakhir pada pukul 4 pagi dan kembali semula ke studio pukul 7 pagi.

“Tidur tidak cukup walaupun kami diberikan dua hari cuti iaitu Isnin dan Jumaat tetapi kerja rumah yang diberikan untuk hari cuti lebih banyak daripada biasa. Cuba bayangkan adakalanya kami tiba di hotel penginapan pukul 10 malam selepas latihan dan kami juga diberikan kerja rumah untuk dihafal serta kerja-kerja rumah lain untuk dibentangkan keesokan hari.

“Tidak pernah dalam hidup saya menjalani program latihan sebegini rupa tetapi ia banyak membantu membentuk dan mematangkan diri untuk tidak mencari alasan apabila melakukan kerja-kerja dakwah untuk Islam.

Berkongsi mengenai pemikiran Dr. Zakir termasuk hala tuju, objektif dan sasaran beliau, Firdaus berkata, pemikiran pendakwah itu amat unik kerana berwawasan jauh. Antara contoh terdekat ialah Peace TV milik beliau.

“Kualiti rakaman PeaceTV, peralatan yang digunakan, ketelitian dalam perancangan serta jumlah tenaga kerja yang terlibat dalam setiap program PeaceTV. Beliau menerangkan kenapa beliau menggunakan kamera berkualiti 4k dan 8k yang merupakan kamera rakaman paling canggih di dunia masa kini adalah bagi memastikan kualiti terbaik untuk program Islamik serta agar rakaman IDTP ini dapat disiarkan untuk 50 dan 70 tahun akan datang dengan kualiti gambarnya masih antara yang terbaik.

“Beliau sanggup berbelanja demi Islam tetapi bukan ke atas dirinya. Beliau beri alasan jika program tidak Islamik sanggup melabur jutaan malahan berbilion untuk menarik manusia jauh daripada Allah SWT, kenapa kita sebagai Muslim yang ingin membawa manusia dekat kepada Allah tidak sanggup berbelanja untuk menghasilkan program Islamik yang bukan sahaja setanding Bollywood ataupun Hollywood tetapi lebih tinggi daripada itu?

“Objektif beliau tidak lain tidak bukan hanyalah demi mencapai keredaan Allah. Sebelum melakukan sesuatu, beliau akan menimbang sama ada ia bermanfaat untuk akhirat atau tidak. Fokusnya adalah bagaimana mendapat ganjaran pahala dalam masa yang paling singkat demi manfaat akhirat,” jelas Firdaus.

Sumber: Utusan