Jalan Di Kg Bukit Cempedak 20 Tahun Tak Pernah Diturap

Mohd Yusof (kanan) dan Shaharon menunjukkan keadaan jalan yang perlu diturap segera.
PADANG SERAI - Hampir 20 penduduk di Kampung Bukit Cempedak, Labu Besar, di sini merayu laluan sepanjang dua kilometer yang menjadi jalan utama diturap segera.

Penduduk, Mohd Yusof Isa, 49, berkata, laluan yang menghubungkan Kampung Bukit Cempedak dengan rumahnya itu tidak pernah diturap dengan tar sejak dia menetap di situ.

"Saya dah tinggal sini lebih 20 tahun. Banyak masalah dah saya lalui akibat keadaan jalan di sini.

"Bukan saja tak diturap, tapi berlubang dan tak rata akibat tanah merah yang mendap," katanya.

Menurutnya, dia bersama beberapa penduduk sudah membuat aduan kepada pihak terlibat, namun tiada sebarang tindakan dibuat.

"Dah tak larat lagi nak buat aduan. Jalan tak berturap ini datangkan bahaya kepada kami terutama pada waktu malam dan musim hujan, ramai yang jatuh akibat licin.

"Saya lalu jalan ini naik motosikal tapi perlu berhati-hati takut terjatuh, lebih-lebih lagi saya ada sakit strok," katanya.


Shaharon Sharif, 46, berkata, keadaan jalan yang tidak berturap itu boleh mendatangkan bahaya kepada anak-anak yang keluar bersekolah dan mengaji al-Quran pada waktu malam.

"Kasihan dekat budak-budak ini, kadangkala kalau hujan, habis kotor baju sekolah kena selut," katanya.

Abdul Halim Serat, 54, pula berkata, dia terpaksa diusung jiran apabila ambulans tidak boleh melalui jalan itu ketika dia jatuh sakit.

"Baru-baru ini saya sakit dan terpaksa dibawa ke hospital. Tapi ambulans tak dapat masuk sampai ke halaman rumah.

"Jadi jiran dan pihak hospital terpaksa usung saya naik ke atas bukit kira-kira 200 meter," katanya.

Menurutnya, penduduk di kawasan itu amat memerlukan jalan berturap bagi memudahkan mereka menjalankan aktiviti harian.

Sumber: Sinar Harian