Jamil Khir Gesa PDRM Benarkan Program Dr Zakir Naik Diadakan


KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) membenarkan Dr. Zakir Naik meneruskan ceramahnya seperti yang telah dijadualkan termasuk di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Melaka.

Beliau bagaimanapun menasihati pihak yang menganjurkan program ceramah pendakwah terkenal itu menukar tajuk ceramah yang mereka berikan kepada Dr. Zakir jika tajuk berkenaan menjadi polemik dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama negara ini.

“Adalah diharapkan pihak berkuasa agama negeri dan PDRM dapat mempertimbangkan semula penganjuran program Dr. Zakir supaya dapat dilaksanakan di tempat-tempat yang telah dijadualkan.

“Berhubung dengan program-program Dr. Zakir di Malaysia, sekiranya tajuk ceramah yang menjadi polemik dan kegelisahan di kalangan masyarakat, adalah dinasihatkan agar tajuk ditukar kepada yang lebih sesuai dan harmoni,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

PDRM semalam memutuskan agar forum pendakwah terkenal itu pada Ahad ini di Dewan Besar UTeM tidak diteruskan atas faktor keselamatan.

Forum bertajuk Persamaan Antara Hindu Dan Islam mendapat tentangan banyak pihak termasuk pertubahan bukan kerajaan (NGO) bukan Islam seperti Hindraf. Ramai pula ilmuwan dan NGO Islam tampil mempertahankan Dr. Zakir.

Percangahan pandangan antara beberapa pihak termasuk yang menyokong dan membantah forum itu secara terbuka di media dan Internet menjadi punca PDRM mengambil pendekatan melarang ia dari diteruskan untuk mengelak perkara tidak diingini.

Jamil Khir dalam pada itu menegaskan, kerajaan Malaysia mengiktiraf Dr. Zakir malah penceramah tersohor itu menerima Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa pada tahun 2013 berdasarkan kepada ketokohan dan keilmuan yang beliau miliki.

Menurutnya, tokoh perbandingan agama itu sangat dihormati dan sentiasa mementingkan hujah-hujah ilmiah dan akademik serta fakta yang tepat dengan merujuk kepada sumber asal sesuatu agama dalam ceramah-ceramahnya.

Malah, katanya, tiada unsur penghinaan ke atas agama lain atau mempromosi perpecahan dan perbalahan dalam ceramah Dr.  Zakir sebaliknya ia turut dihadiri tokoh dalam kalangan bukan Islam.

Jelasnya,Dr.  Zakir dalam konteks jelajahnya di Malaysia menekannya aspek perpaduan dan kesatuan dalam kalangan umat Islam dan pada masa sama perlu menghormati kepelbagaian agama di negara ini.

“Meskipun di dalam ceramah-ceramah beliau ada menyebut agama lain namun ia bukanlah bertujuan untuk mengaibkan sesuatu agama tersebut namun ianya adalah merupakan perbincangan dan perdebatan ilmiah dan akademik yang dilaksanakan dengan penuh hikmah dan tertib,” katanya.

Semalam, pemimpin Pakatan Harapan merangkap Timbalan Setiausaha Agung DAP, P.Ramasamy menggelar Dr. Zakir yang merupakan pendakwah terkenal antarabangsa sebagai syaitan.

Malah, beliau menggesa kerajaan menghalau keluar Zakir dalam kadar segera. – Kedahnews.com