IPOH - Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria kecewa dengan tindakan segelintir pihak yang tidak menghormati kedudukan Islam sebagai agama rasmi di Malaysia.
Menurut beliau, bantahan yang dibuat terhadap kedatangan pendakwah tersohor, Dr Zakir Naik ke negara ini tidak sepatutnya berlaku jika setiap rakyat berfikiran terbuka dan meraikan perbezaan agama dari sudut positif.
"Perkara ini semacam satu penghinaan kepada Islam. Kalau tak setuju, berdepan dan berhujah dengan beliau.
"Jangan jadi seperti anjing menyalak bukit. Belum apa-apa dah dituduh Dr Zakir menghasut. Buktikan dimana dia menghasut dan jangan mentafsir benda yang tak berlaku," katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Harussani berkata, beliau yakin penolakan terhadap Zakir itu berlaku kerana ada pihak yang tidak boleh menerima kebenaran yang disampaikan oleh tokoh terbabit.
"Mereka takut pada bayang-bayang sendiri dan pada masa yang sama turut bimbang penganut agama mereka akan mendekati Islam setelah mendengar hujahan daripada Dr Zakir," katanya.
Katanya, perkara itu diharap tidak akan berulang kembali dan pihak berkuasa perlu menanganinya dengan baik tanpa sebarang sikap pilih kasih.
"Kita tak mahu ianya berlaku lagi dan saya harap pihak berkuasa perlu bertegas dan meneliti semua aspek sebelum membuat sesuatu keputusan," katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Perak, Zamri Hashim pula berkata, bantahan itu bertujuan menutup kebenaran yang cuba disampaikan berdasarkan perbandingan antara al-Quran dan kitab agama lain.
"Mereka menentang bukan atas faktor individu tetapi lebih kepada usaha murni Dr Zakir untuk menyatakan kebenaran Islam dan penyelewengan agama-agama lain," katanya.
Beliau berkata, tuduhan yang menganggap syarahan Dr Zakir sebagai menganggu gugat ketenteraman awam juga tidak dapat diterima memandangkan cendiakawan Islam itu merupakan tokoh Maal Hijrah peringkat kebangsaan 2013.
"Syarahan yang disampaikan bukanlah kali pertama dianjurkan di Malaysia bahkan konsep perbincangannya berasaskan fakta dan bukan emosi tanpa asas," katanya.
Sumber: Sinar Harian