Jangan Jadikan Masjid Kelab Himpunan Veteran Saja


BARU-BARU ini penulis singgah sebentar di sebuah masjid yang terletak di sebuah taman perumahan apabila masuk waktu Maghrib. Selepas solat berjemaah dan bacaan doa maka tok imam dan seorang ahli jemaah yang sudah berusia bangun lalu mengangkat perlahan-lahan sebuah meja penceramah di depan mimbar untuk diadakan kuliah Maghrib.

Pada mulanya tertanya-tanya dalam fikiran, mengapa ahli jemaah lebih muda tidak tampil membantu mengangkat meja yang agak berat? Lutut tok imam kelihatan seperti terketar-ketar. Namun, setelah ditoleh ke kanan dan ke kiri, rupa-rupanya ahli-ahli jemaah yang berjumlah kira-kira 20 orang kesemuanya golongan warga emas!

 Apa sudah jadi dengan masjid kita? Di mana pemuda-pemuda gagah perkasa harapan umat? Adakah masjid kita ‘kelab veteran’ iaitu hanya untuk golongan warga emas atau berpencen?

Hakikatnya, sindrom ‘kepupusan’ jemaah muda bukan hanya dialami di sesebuah masjid sahaja kerana berlaku juga di masjid atau surau lain dewasa ini. Cuba bayangkan jika ahli jemaah warga emas itu satu persatu ‘dipanggil’ Ilahi dalam masa terdekat ini maka siapakah pelapis imam, bilal, siak dan jemaah masjid?

Jika ada yang berpendapat bahawa ini adalah perkara remeh dalam usaha memperkasakan umat Islam maka anggapan itu yang meleset. Hal ini kerana kalau ada yang mengimpikan zaman kegemilangan Islam ber­ulang, maka ketahuilah bahawa pemuda-pemuda di zaman kegemilangan salafusolihin adalah mereka yang menjadi tonggak di masjid.

Lebih menghairankan dan menggusarkan, tatkala masyarakat kini begitu mengambil berat mencari pelapis dalam bidang nyanyian, lakonan dan sukan namun mengapa pula perkara asas dalam agama untuk menyediakan golongan muda ‘kaki masjid’ sebagai pelapis memakmurkan rumah Allah, tidak pula difikirkan?

Justeru amat mustahak, golongan muda didekatkan dengan institusi masjid yang adalah simbol syiar Islam yang sangat penting dalam kehidupan umat Islam. Masjid adalah jantung hati umat Islam dan jika generasi muda menjadi pengunjung tetapnya maka pelbagai masalah membabitkan generasi muda seperti gejala sosial dan sebagainya akan selesai atas dasar keimanan dan ketakwaan. 

Jika jantung bagi tubuh amat penting begitu juga pentingnya untuk masyarakat khususnya orang muda mengimarahkan masjid, jika tidak, roh mereka hilang seumpama jasad yang tiada lagi jantung berdenyut - sudah mati.

Sebab itu, institusi masjid adalah nadi kehidupan umat Islam. Sehinggakan ketika peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah, perkara pertama yang menjadi agenda besar Rasulullah SAW ialah membina masjid di Quba’, yang terkenal sebagai Masjid Quba’ di Madinah. Itulah asas pembentukan sesebuah masyarakat dalam Islam. Dari Masjid Quba’ ini bermulanya gerak nadi dan hayat umat Islam hingga hari ini.

Jika masjid umat Islam berfungsi dan berperanan dengan baik, sudah tentu kehidupan umat Islam akan lebih baik, teratur, barakah dan sentiasa mendapat pancaran sinar hidayah Allah SWT.

Hari ini umat Islam perlu menjadikan Masjid Nabawi yang diimarahkan oleh Nabi SAW dan sahabat baginda sebagai contoh ikutan memakmurkan masjid. Di zaman Rasulullah SAW dan zaman sahabat, masjid menjadi institusi paling penting dan besar pengaruhnya dalam pembinaan sahsiah, peribadi dan kehidupan umat Islam dalam semua bidang. 

Terbukti para sahabat yang diasuh dan dibimbing dalam suasana persekitaran masjid telah berjaya menghasilkan peribadi yang hebat, terbaik, cemerlang dan gemilang seperti Saidina Abu Bakar, Umar Al-Khattab, Uthman Affan, Ali Abu Talib, Abdur Rahman Auf, Abdullah bin Abu Bakar, Abdullah bin Umar, Abdullah bin Masud dan ramai lagi.

Malah masyarakat Islam di zaman Rasulullah SAW dan sahabat adalah generasi umat Islam yang terbaik. Hal ini dinyatakan sendiri oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud: 
“Sebaik-baik umatku adalah pada zamanku...” (HR At-Tirmizi).
Masjid bukanlah sebagai tempat ibadah sahaja tetapi berfungsi sebagai pusat dakwah, pusat ilmu (ta’lim wa ta’lum - belajar dan mengajar), pusat urusan hal ehwal umat Islam seperti muamalat, kebudayaan, khidmat di samping pusat perpaduan dan ukhuwah bagi seluruh umat Islam dan sebagainya. 

Sepatutnya, golongan muda berada di barisan hadapan dalam menjalankan fungsi-fungsi masjid ini namun malangnya hari ini fungsi asas sebagai tempat beribadah pun tidak ramai golongan muda terlibat.

Firman Allah SWT yang bermaksud: 
“Hanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta (mereka pula) mendirikan solat dan menunaikan zakat dan (mereka juga) tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi golongan yang mendapat petunjuk (hidayah).” (Surah At-Taubah, ayat 18).
Dalam konteks hari ini, bukanlah bererti memakmurkan masjid itu dengan memberikan jawatan-jawatan kepada orang muda yang belum berpengalaman dalam mentadbir masjid sebagai ahli jawatankuasa­nya, kecualilah biro pemudanya. 

Bukan juga bererti tugas memakmurkan masjid sudah selesai apabila AJK masjid sudah menyenaraikan ceramah dan tazkirah mingguan dan bulanan yang padat di papan kenyataan masjid tetapi kehadiran ke program-program itu tetap muka ‘regular’ yang sama.

Sedangkan golongan muda di luar tetap terbiar tidak didekati. Akhirnya terjadilah institusi masjid berfungsi secara ‘silo’ iaitu ‘orang masjid’ dengan dunianya sendiri manakala masyarakat Islam lain dengan dunia­nya sendiri. Tiada jambatan menghubungkan dua golongan ini.

Adalah menjadi persepsi yang sangat salah lagi janggal jika masyarakat menganggap tanggungjawab memakmurkan masjid hanyalah untuk orang masjid, AJK masjid, orang tua, warga pencen atau jika ada orang muda yang mengatakan “aku muda lagi, belum nak mati lagi, nanti dah tua pandai-pandailah aku cari jalan ke masjid.”

Semua pihak lebih-lebih lagi para pemimpin masyarakat perlulah memainkan peranan terhadap usaha memakmurkan masjid dari semasa ke semasa. Mengimarahkan masjid adalah tanggungjawab seluruh umat Islam malahan kaum ibu dan golongan wanita yang perlu menggalakkan suami, anak-anak lelaki atau mahram lelaki supaya ke masjid terutama untuk solat berjemaah. 

Dengan cara itu, pelapis muda yang mendampingi masjid dan surau atau pemuda yang hatinya terpaut kepada masjid dapat dilahirkan, mudah-mudahan.

*SAHBULLAH DARWI, PENULIS ialah Pengurus Media dan Penerbitan, Unit Komunikasi Korporat Universiti Multimedia (MMU)/Utusan