Jangan Kejar Untung Sewakan Rumah PPR Kepada Pihak Ketiga

Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara Datuk Mohamad Yusoff Ghazali (dua,kiri) memberi notis tunggakan sewa kepada penghuni berkaitan ketika Ops Sejahtera Komuniti di Projek Perumahan Rakyat Taman Dahlia semalam. - Foto BERNAMA
LANGKAWI – Jabatan Perumahan Negara (JPN) memberi amaran tegas kepada pemilik rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) agar tidak memberikan rumah itu kepada pihak ketiga untuk disewa kerana ia merupakan satu kesalahan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohamad Yusoff Ghazali berkata, pihaknya mengenal pasti ada penghuni-penghuni yang mengambil kesempatan menyewakannya kepada pihak ketiga dan juga warga asing semata-mata untuk mencari keuntungan.

“Mereka hendaklah menghentikan perbuatan itu bagi mengelak tindakan tegas diambil ke atas mereka”, katanya kepada pemberita selepas mengetuai Ops Sejahtera Komuniti di PPR Taman Dahlia di sini, semalam.

Mohamad Yusoff berkata sepatutnya pemilik perlu menolak premis itu kepada pihak kerajaan bagi membolehkan rumah itu diberi kepada pihak lain yang memerlukan rumah berkenaan.

Katanya Ops Sejahtera Komuniti itu diadakan untuk memastikan penghuni-penghuni PPR membayar sewa bulanan sebanyak RM124 kepada kerajaan.

Beliau berkata masih ramai penghuni PPR Taman Dahlia yang tidak menjelaskan sewa bulanan dan menyebabkan tunggakan sebanyak RM1.6 juta.

“Tunggakan tertinggi yang tidak dijelaskan oleh penghuni-penghuni itu adalah sebanyak RM14,000 dan lain-lain tunggakan ialah RM500 hingga RM1,000.

“Kita keluarkan notis kepada penghuni-penghuni PPR Taman Dahlia sebanyak lebih 250 unit,” katanya.

Menurutnya penghuni telah diberi tempoh selama dua bulan untuk menjelaskan semua tunggakan kepada pihak kerajaan sebelum tindakan seterusnya diambil sekiranya masih gagal menjelaskannya.

Beliau juga turut menasihatkan kepada penghuni agar tidak mengambil kesempatan membina kedai atau restoran di kawasan lapang perumahan itu kerana menggangu aktiviti penghuni-penghuni di taman berkenaan.

PPR itu telah dibuka pada 2003, mempunyai lebih 400 unit buah rumah merangkumi lapan blok rumah pangsa lima tingkat. – BERNAMA