Jangan Ulang Kesilapan Projek Bakun - Mohd Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merasmikan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak, jajaran Simpang Bintangor ke Jambatan Sungai Kua, Ahad.
Turut hadir Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem (dua,kanan) dan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof (tiga,kanan). 
-fotoBERNAMA
SIBU - Lebuh Raya Pan Borneo bukan sekadar projek mega semata-mata tetapi projek yang memberi kesan dan makna besar kepada seluruh lapisan masyarakat di Sarawak, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata projek lebuh raya itu yang diimpikan sejak berpuluh tahun yang lalu bakal membawa sektor kawasan luar bandar ke dalam arus perdana pembangunan di negara ini.

"Ini dikatakan 'the game changer' (pencetus perubahan) yang membawa perubahan besar, sebab boleh dekatkan orang di kawasan luar bandar dengan pasaran, permintaan untuk produk mereka akan meningkat.

"Ini akan mengubah peluang ekonomi untuk kawasan luar bandar," katanya semasa melancarkan Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak bagi jajaran dari Simpang Bintangor ke Simpang Julau dan Lapangan Terbang Sibu ke Jambatan Sungai Kua, di sini Ahad.

Lebih daripada itu, menurut Najib, secara psikologi lebuh raya itu nanti akan dapat merangsang minda dan hati anak-anak di luar bandar dengan keinginan untuk mengejar kemajuan.

Oleh yang demikian, Perdana Menteri tidak mahu projek itu menjadi seperti projek mega lain yang berdepan dengan pelbagai masalah.

"Saya kata jangan ulang kesilapan (projek empangan hidro) Bakun. Jangan bagi kepada kontraktor yang tidak dapat buat apa, bagi kepada kontraktor yang mampu melakukannya.

"Orang tengok ada empangan besar, ada kabel kuasa tapi rumah panjang di bawahnya (kawasan itu) tiada bekalan elektrik. Saya kata tak boleh ... (projek) Bakun dibuat bukan pada zaman saya. Ia dibuat pada zaman orang lain, zaman orang yang memerintah 22 tahun. Itu cerita lain," katanya.

Najib berkata, kontrak pelaksanaan lebuh raya itu diberikan kepada kontraktor tempatan yang turut terdiri daripada kontraktor Bumiputera kelas F dan akan dipastikan segala limpahan projek itu akan memenuhi kehendak penduduk setempat.

Katanya, perhentian-perhentian bas akan dibina di sepanjang lebuh raya itu dan akan disediakan tempat-tempat bagi masyarakat luar bandar untuk menjual produk-produk pertanian mereka.

"Kalau tak cukup (tempat untuk) jual tepi lebuh raya boleh jual ke Kuching sebab kalau dulu (perjalanan) Kuching-Sibu (selama) enam jam, dengan lebuh raya Pan Borneo ini nanti tiga jam sahaja," katanya.

Beliau berkata jajaran sepanjang 76.2km tersebut menelan belanja RM1.7 bilion dan sebanyak 68 syarikat kontraktor Bumiputera Sarawak akan melaksanakan pelbagai kerja kontrak yang berjumlah RM533.8 juta.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyampaikan surat anugerah projek dan surat niat kepada 78 syarikat kontraktor dengan 77 daripadanya adalah syarikat Bumiputera Sarawak bagi kerja-kerja pembinaan lebuh raya tersebut.

Selain itu, Najib dan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem yang turut hadir pada majlis itu menyampaikan pampasan tanah kepada pemilik-pemilik tanah yang terbabit dengan pelaksanaan jajaran projek tersebut.

Sumber: mStar