Janji RM4 Juta, Dr. Vida Baru Sumbang RM1.4 Juta – KAFA

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa
KUALA LUMPUR – Penaja utama pasukan Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW), Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Dr. Vida baru menyumbang sebanyak RM1.4 juta untuk pasukan itu pada musim ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa berkata, jumlah itu belum mencapai tajaan yang dipersetujui oleh Dr. Vida sebelum ini iaitu sebanyak RM4 juta setahun.

“Setelah separuh musim hampir tamat, saya difahamkan Dr. Vida baru menyumbang kira kira RM1.4 juta (sedang semak angka terbaru)… tu pun tiada sebarang tajaan dibayar ke akaun KAFA,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Annuar dalam pada itu menjelaskan, KAFA menerima permintaan Dr. Vida supaya gelaran dan warna jersi pasukan Kelantan ditukar sebelum ini kerana Dr. Vida menawarkan tajaan 50 peratus lebih daripada bajet rasmi pasukan pada tahun 2016 iaitu sebanyak RM8 juta setahun.

Bagaimanapun, katanya, tajaan sebenar Dr. Vida untuk bajet pasukan itu hanya RM4 juta setahun kerana Dr. Vida membelanjakan jumlah selebihnya untuk hal luar bajet KAFA.

Ini seperti mengecat stadium, memperbaiki wisma Dr. Vida, mengadakan pertandingan Dr. Vida, ganjaran juara dan lain-lain.

“Semuanya tak termasuk dalam bajet tetapi KAFA tidak boleh memaksa. Semua ini pihak KAFA terima dengan hati terbuka.

‘Hingga saat ini pun KAFA tetap mempunyai hubungan akrab dan sentiasa bekerjasama dan terima apa saja seadanya. Kita hargai komitmen Dr. Vida.

“Sebab itu bagi kita tidak timbul soal penamatan tajaan kerana kita mengambil pendekatan bertolak ansur. Hubungan baik ini akan dikekalkan dan segalanya di buat secara berunding demi kebaikan,” katanya.

Menurut Annuar, beliau mendedahkan maklumat berhubung penajaan tersebut untuk mengelakkan ada pihak tersilap fakta berhubung tajaan Dr. Vida ke atas pasukan Kelantan.

“KAFA perlu terus mencari dana kerana kita kekurangan RM4 juta bila Dr. Vida mahukan tajaan beliau dibuat seperti yang saya terangkan itu,” katanya.

Dr. Vida sebelum ini mengugut mahu menarik diri daripada menaja pasukan Kelantan seandainya pasukan kendalian K. Devan itu terus memperagakan aksi ‘yo-yo’.

Ini kerana beliau sudah hilang sabar dengan prestasi PQPTRW yang mencatat tiga kali menang, tiga kali kalah dan tiga kali seri dalam sembilan perlawanan yang sudah diharungi. –Kedahnews.com