Jatuhkan PM: Abdul Hadi Bantah Usaha Mahathir Libatkan Istana

Datuk Seri Abdul Hadi Awang
KUALA LUMPUR - Pas menolak usaha bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahahthir Mohamad yang cuba melibatkan pihak istana dalam usaha menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, negara ini memiliki parti-parti politik serta badan-badan bukan kerajaan untuk menangani isu-isu yang dibangkitkan.

"Kita tidak mahu menarik pihak-pihak lain yang tidak perlu ditarik dalam sebarang perubahan. Kita ada parti politik, NGO dan semua pihak lain. Itu terpulang kepada mereka," katanya kepada pemberita di Parlimen, kelmarin.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Tun Mahathir pada 27 Mac lalu yang mengharapkan pihak istana mendengar keluhan rakyat dan campur tangan dalam menggesa Najib meletakkan jawatan.

Menurutnya lagi, hanya ada dua cara demokrasi untuk menurunkan seseorang pemimpin iaitu melalui undi tidak percaya di Parlimen atau pilihan raya.

Beliau juga tidak menolak demonstrasi diadakan untuk menyatakan bantahan namun katanya, ia mesti mengikut proses dan penjelasan yang betul.

Sumber: Sinar Harian