JDT Akan Buka Pejabat "Ala Kedutaan" Di 4 Negara Luar

Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim
KUALA LUMPUR – Kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) difahamkan akan membuka beberapa buah pejabat di luar negara dan berfungsi seolah-olah "pejabat kedutaan" di sana.

Pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah, pejabat itu akan dibuka di empat buah negara asing.

“JDT akan membuka pejabat JDT di empat buah negara iaitu di Singapura, Thailand, Indonesia dan Jepun,” titah baginda dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Tunku Ismail bertitah, pejabat JDT itu berfungsi seperti ‘kedutaan’ untuk JDT di luar negara ini.

Titah baginda, ia sebahagian daripada perancangan tersusun demi masa depan JDT.

“Ia berkaitan pemasaran, pencarian bakat, penjenamaan serta memudahkan urusan penyokong JDT yang berada di negara tersebut,” katanya menjelaskan fungsi pejabat berkenaan.

Tunku Ismail dalam pada itu menyindir, baginda tidak peduli pihak yang meniru ideanya tetapi kasihan kerana pihak berkenaan tidak mempunyai idea sendiri. – Kedahnews.com