Jerebu: Sekolah Ditutup Jika Bacaan IPU Lebih 200 - Mahdzir

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
KUALA LUMPUR - Sekolah-sekolah di negara ini akan ditutup jika keadaan jerebu bertambah buruk, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata sekolah-sekolah akan ditutup jika bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200.

Katanya, kementerian itu telah menubuhkan bilik operasi selepas keadaan jerebu menjadi bertambah buruk awal minggu ini.

Beliau berkata bermula Isnin akan terdapat laporan harian daripada jawatankuasa kabinet yang dipengerusikan oleh Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

"Kita akan membuat keputusan jika terdapat keperluan untuk menutup sekolah," katanya kepada pemberita di sini.

Dr Wan Junaidi dalam satu kenyataan hari ini berkata, jerebu di Lembah Klang terutamanya disebabkan oleh kebakaran tanah gambut di Selangor dan Pahang.

Di Miri, jerebu telah dikaitkan dengan pembakaran hutan di Bekenu dan Marudi.

Sehingga tengah hari Sabtu, Pelabuhan Klang dan Cheras masing-masing mempunyai bacaan IPU tidak sihat 114 dan 101, Banting (100), Shah Alam (96), Petaling Jaya (93) Batu Muda (97) dan Putrajaya (88) menunjukkan bacaan sederhana .

IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat), 301 ke atas (bahaya).

Sumber: mStar