Jika PAS Berpandu Al-Quran & Hadis, Saya Akan Dibebaskan - Husam

Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa
KOTA BHARU - Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa berkata, beliau tidak mempunyai pengaruh  besar sehingga mampu menjejaskan Pas termasuk membawa keluar 10 Adun Kelantan seperti yang didakwa.

Husam yang kini dihadapkan ke jawatankuasa disiplin Pas bagaimanapun meminta Pas berlaku adil terhadapnya, meskipun beliau  tidak lagi  berjawatan dalam parti.

“Saya tidak berpengaruh, cuma apa pun Pas kena berlaku adil kepada saya,  tidak boleh kerana saya hanya orang kecil, boleh buat sesuka hati,”katanya kepada Sinar Harian kelmarin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan, Datuk Wan Rahim Wan Abdullah yang mendakwa terdapat 10 Adun Pas Kelantan yang akan keluar Pas sekiranya Husam dipecat.

Wan Rahim juga mendakwa Pas dikatakan tidak berani mengambil tindakan drastik terhadap Husam termasuk memecat beliau kerana bimbang pengaruhnya mampu memecahkan parti.

Mengulas lanjut, Husam berkata, sekiranya Pas menggunakan Al-Quran dan Hadis sebagai panduan, beliau yakin akan dibebaskan sepenuhnya dari tuduhan tersebut.

“Bagaimanapun, apa pun keputusan Pas sama ada dipecat atau digantung saya akan merayu,”katanya.

Sumber: Sinar Harian