VOKALIS kumpulan Search, Amy atau nama sebenarnya, Suhaimi Abdul Rahman melahirkan perasaan kecewanya atas penjualan cenderamata Konsert Search 35 Tahun yang dijual secara haram.
Perkara ini disedari Amy ketika menyaksikan konsert Ella di Stadium Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Pihak tidak bertanggungjawab itu menjual cenderamata Search secara terbuka di tempat letak kereta lokasi terbabit sebaik pintu konsert dibuka.
Antara cenderamata yang dijual adalah kemeja T dan tag Konsert Search 35 Tahun yang dicetak secara haram.
Penyanyi berusia 58 tahun itu turut memuat naik gambar dan nama si penjual ke laman sosial Instagram miliknya.
Amy menulis di Instagram: “Mencetak hak cipta orang tanpa izin sama seperti mencuri. Sangat salah di sisi undang-undang dan di sisi agama. Hasilnya haram.
“Tak respect langsung. Kalau lu respect kugiran Search, tentu lu takkan buat macam ini”.
Memetik portal Astro Awani, Amy berkata: “Penjual itu sudah pernah ditegur sebelum ini, namun masih melakukan perkara yang sama”.
“Anda memperoleh wang daripada nama dan hasil titik peluh orang lain. Cuba bayangkan anda di tempat kami, apa perasaan anda?” soal Amy lagi.
Walaupun ‘bengang’ dengan perkara tersebut, Amy berkata buat masa ini pihaknya belum memutuskan apa tindakan yang akan diambil terhadap penjual berkenaan. –Kedahnews.com