Kedah Rancang Bina Empangan Naok, Atasi Masalah Bekalan Air

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengadakan sidang media selepas Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman, semalam.
ALOR SETAR – Kerajaan Negeri Kedah mengumumkan sedang merancang untuk membina sebuah lagi empangan di Kampung Paya Serdang, Pendang bagi mengatasi masalah bekalan air di negeri itu, pada masa depan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, projek yang dianggar bernilai RM650 juta itu, dijangka dapat mengatasi pelbagai masalah bekalan air akibat daripada pertambahan penduduk, kawasan perumahan baharu, keperluan sektor perindustrian dan pelancongan.

Kata beliau, proses rundingan dan perbincangan telah dilakukan Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) bersama kementerian bertanggungjawab, bagi memastikan projek pembinaan empangan tersebut yang dikenali sebagai Empangan Naok itu diluluskan.

“Kita juga bercadang untuk menaik taraf satu lagi empangan iaitu Empangan Sari di Padang Terap dengan meningkatkan jumlah takungan air di empangan itu untuk menampung permintaan rakyat,” katanya pada sidang media sejurus selesai Persidangan Dewan Undangan Negeri di Wisma Darul Aman, di sini semalam.

Sehingga kini, Kedah mempunyai lima empangan untuk kegunaan domestik, pertanian dan perindustrian iaitu Empangan Muda, Pedu, Ahning, Beris dan Malut.

Semasa persidangan DUN hari ini, Ahmad Yahya (PAS-Alor Mengkudu) mengusul agar dibincangkan mengenai masalah bekalan air di Kedah yang dikatakan semakin meruncing kini.

Ahmad Bashah buat pertama kali semalam mengetuai Kerajaan Negeri di sidang Dewan Undangan Negeri Kedah selaku Menteri Besar sejak dilantik pada 4 Februari lalu dan sidang berkenaan turut dihadiri oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Sidang DUN berkenaan lancar berlangsung dalam keadaan harmoni dan turut memperlihat kemesraan di antara Ahmad Bashah dan Mukhriz, sekaligus menafikan khabar angin yang mendakwa hubungan dingin antara dua pemimpin UMNO itu. -Kedahnews.com