Kedah VS JDT: Bertemu Buku Dengan Ruas Di Separuh Akhir?

Pemain Kedah, Liridon Krasniqi (kiri) mengawal bola sambil diasak pemain Sabah pada perlawanan suku akhir Piala FA antara Kedah menentang Sabah di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Jumaat lalu. Foto: Bernama
ALOR SETAR - Biarpun "tempang" tanpa 6 pemain utama, pasukan kebanggaan negeri Kedah berjaya menempah tempat ke separuh akhir Piala FA apabila menang dengan agregate 3-2, mengatasi pasukan negeri Sabah baru-baru ini.

Tanpa 6 tonggak Helang Merah itu, skuad Kedah berkenaan bermain dengan langkah hati-hati dengan semangat berkobar-kobar di depan lebih 35 ribu penonton di Stadium Darul Aman.

Turut bersama menyaksikan perlawanan suku akhir ke-2 itu adalah Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) yang baru, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang melahirkan keyakinan beliau terhadap skuad Helang Merah yang dijangka mampu melangkah keperingkat akhir piala FA, berbekalkan semangat dan persiapan dilakukan bekas juara Liga Perdana Musim lalu itu.   

Ahmad Bashah berkata untuk itu, beliau meminta pemain semua pemain agar memberi fokus dan komitmen yang tinggi dalam perlawanan seterusnya bagi melayakan diri ke peringkat akhir.  

"Saya tidak menyasarkan jumlah gol untuk perlawanan seterusnya tetapi sudah semestinya kita mahukan kemenangan jadi penyokong perlu sama-sama memberi sokongan padu kepada pemain," katanya selepas merasmikan Persidangan Tahunan Persekutuan Silat Kebangsaaan Malaysia (PESAKA) ke-16, Sabtu lalu.     

Kedah seri 1-1 menentang Sabah dalam aksi timbal balik di Stadium Darul Aman Jumaat malam, namun mara ke separuh akhir menerusi agregat 3-2.     

Penyerang import dari Brazil, Carlos Eduardo meletakkan skuad Helang Merah di hadapan pada minit ke-22 setelah menyempurnakan sepakan penalti, sebelum Sabah menyamakan kedudukan pada minit ke-59 menerusi Ummareng Bacok yang menanduk masuk bola hantaran Dedi Kusnandar.

Walau bagaimanapun, pasukan Helang Merah itu akan menempuh laluan sukar apabila dijangka bertemu pasukan Singa Selatan yang mencetus kegerunan banyak pasukan lain, Johor Darul Takzim (JDT) yang turut melangkah ke separuh akhir apabila menewasakan PDRM dengan kemenangan agregate 6-2.

JDT dianggap pasukan "Galacticos" oleh sebilangan penganalisis bola sepak negara ekoran memiliki pemain-pemain bintang dan disifatkan sebagai pasukan yang paling sempurna serta seimbang di segenap penjuru padang.

Namun begitu, pasukan Kedah pun tidak kurang hebatnya dan terkenal dengan "pantang kalah" serta beberapa kali pernah mengejutkan pasukan-pasukan yang digembar-gemburkan sebagai ternama di arena bola sepak negara. -Kedahnews.com