Kekurangan Lateks, Malaysia Tidak Larang Import Getah Asli


KUALA LUMPUR – Malaysia tidak melarang pengimportan getah asli dari mana-mana negara buat masa ini, kata Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Datuk Noriah Kasnon.

Noriah berkata larangan tidak dilaksanakan memandangkan terdapat kekurangan bahan mentah terutama lateks untuk keperluan industri sarung tangan getah.

“Pengeluaran lateks dalam negara pada tahun lalu adalah sebanyak 45,862 tan manakala penggunaan lateks pula adalah sebanyak 406,930 tan,” katanya pada sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara di sini Isnin.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Ramli Shariff yang meminta kementerian menyatakan langkah-langkah yang diambil bagi mengawal kemasukan getah dari mana-mana negara.

Mengulas lanjut, Noriah berkata kerajaan bagaimanapun melalui Lembaga Getah Malaysia (LGM), menjalankan siasatan secara berkala bagi memastikan kualiti getah yang diimport bersamaan dengan Borang Pengimportan.

Dalam pada itu, Noriah berkata kerajaan prihatin terhadap kebajikan para pengusaha dan penoreh getah kesan daripada ketidakstabilan harga komoditi itu.

Sehubungan itu, katanya, langkah serta-merta dilaksanakan bagi meringankan beban penurunan harga getah termasuk melaksanakan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) mulai Januari tahun lalu.

“Pada Januari tahun ini, Paras Harga Pengaktifan (PHP) IPG telah dinaikkan oleh kerajaan iaitu harga SMR20 daripada RM5.10 kepada RM5.50 sekilogram.

“…dan bagi harga getah skrap daripada RM2 kepada RM2.20 sekilogram dengan peruntukan dana sebanyak RM200 juta dan sehingga 6 April lalu, sebanyak 93,365 permohonan telah diluluskan untuk pengagihan IPG melibatkan peruntukan RM14.01 juta,” katanya.

Beliau berkata kerajaan juga melaksanakan mekanisme Penetapan Harga di Ladang dengan menyediakan peruntukan RM6.4 juta kepada koperasi-koperasi sebagai modal pusingan untuk menjalankan aktiviti urus niaga getah.

Katanya berdasarkan maklum balas, sehingga kini sebanyak 10 koperasi terlibat dalam urus niaga getah dan menawarkan pada purata 10 sen sehingga 20 sen sekilogram lebih tinggi berbanding pembeli getah berlesen.

Noriah berkata kerajaan juga mengadakan kerjasama dan perundingan bagi menstabilkan harga getah di bawah kerangka Majlis Getah Tiga Pihak Antarabangsa (ITRC) dan Persatuan Negara-negara Pengeluar Getah Asli (ANRPC). – BERNAMA