Kerajaan DAP P. Pinang Minta Kedah Kurang Pelepasan Air


GEORGETOWN - Pulau Pinang meminta kerajaan Kedah supaya mengurangkan pelepasan air harian ke Sungai Muda, dalam usaha memenuhi hanya permintaan bekalan air di kedua-dua negeri itu, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Datuk Jaseni Maidinsa berkata kerana sebab itulah, Pulau Pinang meminta penangguhan aktiviti pengairan di Kedah.

Tanpa adanya kebimbangan tentang pengairan, katanya, Empangan Muda dan Empangan Beris mungkin boleh mengurangkan pelepasan air di Sungai Muda.

"Sebenarnya, Pulau Pinang mahu memberitahu Kedah supaya mengurangkan pelepasan air. Kami tidak mahu membazirkan air, kami tidak perlukan lebih air kerana paras air d Sungai Muda adalah di atas dua meter.

"Jadi, kita tidak perlukan lebih air dan meminta mereka mengurangkan pelepasan air. Ini sudah kami amalkan sejak Januari lepas," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Sambutan Hari Air Dunia 2016 oleh Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Prof Dr P.Ramasamy di Empangan Air Itam di sini.

Jaseni mengulas kenyataan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah bahawa Pulau Pinang perlu menggunakan saluran tepat untuk meminta lebih banyak air dilepaskan dari Kedah.

Jaseni berkata, PBAPP tidak menggunakan air dari Empangan Mengkuang sejak Februari 2014 selepas ia diserahkan kepada kerajaan Pusat untuk kerja pembesaran projek.

Katanya projek pembesaran Empangan Mengkuang masih belum diselesaikan oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, selain empangan itu masih dikendalikan kerajaan Pusat dan belum diserahkan semula kepada kerajaan negeri.

"Saya ingin tegaskan tiadanya krisis air di Pulau Pinang atau di wilayah utara. Semalam, paras air di Sungai Muda adalah 2.54 meter dan PBAPP dapat mengambil air mentah yang mencukupi untu kegunaan negeri ini," katanya.

Pada masa sama, Jaseni berharap kerajan Pusat akan mengambil tindakan pencegahan andainya berlaku krisis air ekoran fenomena El Nino, yang boleh menjejaskan lebih daripada empat juta penduduk di wilayah utara.

"Kami juga meminta kerjasama pengguna air di Pulau Pinang untuk menjimatkan air dan menggunakannya dengan bijak," katanya. - Bernama