Kerajaan Negeri Kedah Jimat RM18 Juta Setahun Tangguh E-Tutor


ALOR SETAR - Tindakan Kerajaan Negeri menangguhkan program Kedah e-Tutor (KeT) telah menyebabkan penjimatan perbelanjaan sebanyak RM18 juta setahun, kata Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Ahmad Bashah menjelaskan, program itu ditangguh memandangkan kos perbelanjaannya agak tinggi, namun menegaskan bahawa penangguhan tersebut sama sekali tidak bermaksud Kerajaan Negeri tidak mementingkan bidang pendidikan. 

"Bagaimanapun, kita ada cadangan dengan Jabatan Pendidikan untuk bincang alternatif selain KeT.

"Mungkin boleh bekerjasama dengan Majlis Guru Besar untuk buat alternatif lain yang lebih murah," katanya pada sidang media selepas sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) di sini, semalam.

KeT, sebuah portal pembelajaran maya dilancarkan Kerajaan Negeri Kedah pada April 2015 dengan sasaran menyediakan tuisyen dalam talian secara percuma kepada 280,000 pelajar sekolah di seluruh negeri ini.

Portal yang dibangunkan syarikat TH3 Holdings Sdn Bhd, menyediakan aplikasi pembelajaran mudah dan lebih 4,000 video tutorial berdefinisi tinggi dalam pelbagai bahasa.

Ahmad Bashah buat pertama kali semalam mengetuai Kerajaan Negeri di sidang Dewan Undangan Negeri Kedah selaku Menteri Besar sejak dilantik pada 4 Februari lalu dan sidang berkenaan turut dihadiri oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Sidang DUN berkenaan lancar berlangsung dalam keadaan harmoni dan turut memperlihat kemesraan di antara Ahmad Bashah dan Mukhriz, sekaligus menafikan khabar angin yang mendakwa hubungan dingin antara dua pemimpin UMNO itu. -Kedahnews.com