Kerajaan Tubuh Pasukan Khas Bantu Proton Pulih


KOTA BHARU - Penubuhan pasukan petugas khas oleh Kerajaan bagi program pemulihan Proton Holdings Berhad (Proton) adalah bertujuan untuk memastikan pengeluar kereta nasional itu pulih sepenuhnya daripada isu-isu cabaran yang dihadapi sekarang.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata sekarang ini Proton menghadapi cabaran saingan yang sengit daripada pengeluar kereta yang lain maka pasukan petugas berkenaan akan memantau pelaksanaan pelan pemulihannya.

"Kerajaan telah mengenakan beberapa syarat, jadi antara tugas utama pasukan petugas ini ialah untuk memastikan syarat-syarat yang dikenakan itu dipatuhi oleh Proton," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sijil Kelayakan dan Indeks Kerja Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia Peringkat Negeri Kelantan di sini, semalam.

Mustapa berkata syarat-syarat itu dikenakan bagi memastikan syarikat automotif tersebut dipulihkan daripada keadaan sekarang, namun beliau tidak menerangkan dengan lebih lanjut tentang syarat-syarat berkenaan.

Kerajaan pada 8 April meluluskan permohonan Proton untuk mendapatkan pinjaman mudah berjumlah RM1.5 bilion dalam usaha memulihkan perniagaannya dan juga mengumumkan penubuhan pasukan petugas khas diterajui Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) Datuk Seri Idris Jala bagi memastikan kejayaan program transformasi itu.

Bagaimanapun, katanya, pasukan petugas berkenaan tidak akan terlibat dalam pengurusan Proton.

"Pengurusannya terserah kepada Proton cuma pasukan petugas akan pantau setakat mana syarat-syarat yang dikenakan itu dipatuhi," katanya. –Bernama