Kes Ibu Kelar Anak Di Sg Petani Disebut Semula 25 April

Shok Kian ketika dibawa ke mahkamah kelmarin.
SUNGAI PETANI - Kes seorang ibu mengelar leher dua anak kandung lelakinya sehingga mati pada 30 November lalu ditetapkan untuk sebutan semula 25 April ini oleh mahkamah majistret di sini, kelmarin.

Sebutan semula itu ditetapkan Majistret Adibah Husna Zainal Abidin selepas pihak pendakwaan yang diwakili Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Farhana Ishak memohon tarikh sebutan baharu bagi menunggu laporan kimia dan forensik yang belum siap.

Mahkamah membenarkan permohonan itu dan menetapkan tarikh baru untuk sebutan semula kes sebelum prosiding perbicaraan dijalankan.

Sebelum ini, laporan pemeriksaan mental Saw Shok Kian, 36, yang dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta selama 30 hari untuk pemerhatian sudah siap dan diserahkan kepada mahkamah oleh pihak pendakwaan.

Pada 8 Disember tahun lalu, Shok Kian, didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian Tee Cong Ming, 5, dan Tee Cong Shern, 2, antara jam 10 malam 30 November hingga 3 petang, 1 Disember lalu.

Suri rumah itu dituduh melakukan kesalahan itu di rumahnya di Taman Wira Indah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Ketika pertuduhan pertama kali dibacakan oleh jurubahasa, Shok Kian mengangguk faham di hadapan Majistret Mohd Hadi Hakimi Harun.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada wanita itu.

Sumber: Sinar Harian