Kevin Morais Mungkin Diterkup Di Kepala Hingga Mati


KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi semalam diberitahu bahawa Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Kevin Morais berkemungkinan diterkup pada bahagian kepalanya sehingga mati.

Pakar Perunding Perubatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Nurliza Abdullah, 51, berkata ia berdasarkan keadaan si mati yang mengalami kelemasan udara apabila tidak boleh mendapatkan udara atau oksigen untuk terus hidup.

“Pada keadaan sedemikian, yang lebih bersesuaian adalah seperti diterkup dengan beg plastik yang menyarung atau meliputi bahagian kepala serta diketatkan pada bahagian muka mengakibatkan gangguan kemasukan udara menyebabkan si mati tidak boleh bernafas.

“Satu lagi keadaan adalah tekanan atau mampatan pada bahagian dada, iaitu di sebelah belakang kanan bahagian dada dan bahagian kanan sisi sangkar dada yang menunjukkan kesan lebam, menunjukkan badan ini dihimpit dan menghalang sangkar dada melakukan pergerakan pernafasan,” katanya ketika pemeriksaan balas peguam Datuk N.Sivananthan pada perbicaraan hari kelima kes pembunuhan Kevin Morais.

Ditanya mengenai punca lain yang boleh menyebabkan kelemasan udara, Dr. Nurliza berkata: “Saya berpendapat kombinasi gabungan semua cara ini telah menyebabkan si mati mengalami suffocation (tidak boleh bernafas).”

Selain itu, beliau turut memberitahu kematian Kevin Morais akibat kelemasan udara itu adalah daripada sebab-sebab bukan semula jadi.

Katanya terdapat banyak punca yang menyebabkan asfiksia (kelemasan) tetapi kelemasan udara merujuk kepada sebab-sebab bukan semula jadi.

“Fahaman forensik patologi dengan perkataan ‘natural’ adalah keadaan semula jadi yang berlaku seperti penyakit-penyakit yang dialami seseorang manakala sebab-sebab bukan semula jadi merujuk kepada faktor-faktor luaran, bukannya berkaitan dengan penyakit yang mengakibatkan keadaan asfiksia,” katanya.

Menjawab soalan Sivananthan bagaimana beliau mengesahkan kematian itu berpunca daripada sebab bukan semula jadi, Dr. Nurliza menjelaskan sebagai seorang yang menjalankan pemeriksaan bedah siasat, beliau akan memeriksa secara menyeluruh dan mengaitkan keadaan dengan kematian seseorang itu.

Bagaimanapun, Sivananthan mempersoalkan perkataan ‘most probably attributable to asphyxiation suffocation’ (kemungkinan besar disebabkan oleh asfiksia tidak boleh bernafas) yang digunakan dalam laporan bedah siasat Dr. Nurliza bertarikh 22 Okt 2015, berhubung punca kematian Kevin Morais.

Sivananthan : Mengapa tidak boleh anda hanya berkata punca kematian adalah asphyxiation suffocation?

Dr. Nurliza : Seperti yang saya sebutkan, keadaan mayat adalah dalam proses pembusukan.

Sivananthan : Oleh kerana keadaan badan itu, anda tidak boleh mengatakan dengan pasti bahawa sebab kematian adalah asphyxiation suffocation. Sebab itu kenapa anda juga gunakan perkataan kemungkinan?

Dr. Nurliza: Tidak bersetuju.

Sivananthan: Adakah anda bersetuju, dengan lain perkataan, kita berada di sini dengan laporan bedah siasat yang berdasarkan kebarangkalian yang tinggi?

Dr. Nurliza: Itu maksud saya kebarangkalian tinggi. Pada saya ia adalah kepastian perubatan yang munasabah.

Beliau turut menjelaskan sekali lagi bahawa keadaan mayat Kevin Morais tidak dalam keadaan segar di mana semua tanda-tanda asphyxia dapat dilihat.

“Saya juga telah mengecualikan sebab kematian yang lain seperti kesan kecederaan akibat trauma tajam, kesan tembakan, kesan pembakaran dan juga kesan patah pada tulang rangka jasad tersebut dan tiada kesan pendarahan dalaman pada mayat,” katanya.

Dr. Nurliza juga menafikan kematian Kevin Morais berpunca daripada kegagalan jantung kerana seseorang yang mengalami kegagalan jantung masalahnya lebih kepada kekurangan pengaliran darah bukannya disebabkan kelemasan.

Enam lelaki – G.Gunasekaran, 48, R.Dinishwaran, 24, A.K. Thinesh Kumar, 23, M.Vishwanath, 26, S.Nimalan, 23, dan S.Ravi Chandaran, 45, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh Kevin Morais antara 7 pagi dan 8 malam, 4 Sept, 2015, di antara Jalan Dutamas Raya Sentul dan No.1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya.

Kol Dr R. Kunaseegaran, 53, yang merupakan tertuduh pertama, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dengan enam lelaki itu dalam pembunuhan Kevin Morais di tempat, tarikh dan masa.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung hari ini. – BERNAMA