Khilaf, Ikhtilaf Fitnah Manusia, Perlu Berlapang Dada

HAKIKATNYA, kepelbagaian yang wujud dalam semua bidang kehidupan merupakan hasil daripada perbezaan pendapat atau pandangan dalam kalangan manusia itu sendiri.

Sejarah ketamadunan manusia sejak Nabi Adam a.s diciptakan menunjukkan bahawa kepelbagaian itu ada yang memberi manfaat dan membawa kepada kehancuran. Namun, ia bukan sesuatu yang boleh dielak atau ditolak sama sekali secara total.

Cuma, ia menjadi sempit dan susah apabila disusuli dengan pertimbangan hawa nafsu, mementingkan diri atau berlaku tanpa mengikut jalan yang dibenarkan oleh syarak. Natijahnya, ia akan bertukar kepada perpecahan, perbalahan, persengketaan dan menimbulkan huru-hara dalam kalangan ummah.

Justeru, apa yang boleh kita buat adalah memahami dengan jelas sama ada perbezaan pendapat atau pandangan itu berteraskan prinsip ikhtilaf atau khilaf.

Melalui pemahaman dua istilah bahasa Arab itu sedikit sebanyak membolehkan kita mengutamakan akal berbanding nafsu apabila berhadapan dengan perbezaan pendapat atau pandangan.

Fellow Kanan Pusat Kajian Syariah dan Undang-undang Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Md. Asham Ahmad berkata, ikhtilaf berlaku antara dua pihak yang berada pada zaman yang sama, sedangkan khilaf bukan sahaja merupakan pandangan baharu tetapi juga lebih lemah kerana ia menyanggah apa yang sudah diterima sebelumnya.

“Ikhtilaf hanya diraikan dalam rangka proses pencarian ilmu kerana bagi setiap Muslim sama ada lelaki atau perempuan, ilmu merupakan satu tanggungjawab atau taklif,” katanya semasa menjadi antara panel pada Persidangan Meja Bulat Prinsip Dan Kaedah Perbezaan Pandangan Dalam Kerangka Ahli Sunnah Wal Jamaah di IKIM, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambah beliau, perbezaan pendapat atau pandangan yang mungkin wujud sepanjang proses tersebut bukanlah suatu yang boleh dielakkan tetapi satu hakikat yang terpaksa dilalui sebelum tercapai matlamat pencarian ilmu itu.

“Atas sebab itulah, para alim ulama zaman silam telah menyusun kaedah ilmiah yang memandu penyelidikan dan perbahasan agar ia menjadi penyatuan dan bukannya perpecahan pada masa depan.

“Melalui kaedah berkenaan, dapat dizahirkan pendapat yang benar daripada yang batil, walaupun tidak semua orang akan mengenali dan mengakuinya (pendapat yang benar),” katanya.

Oleh yang demikian, umat Islam harus menerima kenyataan bahawa khilaf dalam perkara ijtihad dan hukum yang berasaskan kepada dalil-dalil zanni adalah suatu perkara yang pasti akan berlaku.

Seruan untuk menyatukan mazhab-mazhab fikah adalah suatu yang lucu, iaitu untuk memaksa orang lain mengorbankan pandangan ijtihadnya untuk berada dalam satu mazhab sahaja.

Ini tidak mungkin bahkan ia bercanggah dengan konsep dan tuntutan ijtihad kerana seorang yang mampu berijtihad dan beramal dengan hukum yang dihasilkannya tidak harus dia bertaklid atau berpaling daripada mazhabnya kepada pendapat orang lain.

Sementara orang awam pula wajib bertaklid kepada mana-mana mazhab dan pendapat ulama mujtahidin yang menjadi pilihannya.

Fahami hukum dan ilmu agama terlebih dahulu

KEFAHAMAN jitu terhadap hakikat ikhtilaf termasuk prinsip dan adabnya merupakan satu keperluan yang amat kritikal bagi umat Islam pada masa ini. Ini kerana pengabaian tentangnya boleh membantutkan agenda merawat dan membangunkan ummah sehingga bila-bila.

Pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Dr. Saadan Man menyatakan bahawa terdapat beberapa rumusan terhadap sikap dan peranan yang perlu dilaksanakan oleh setiap individu Muslim dalam mengharungi fenomena perbezaan pendapat sedemikian.

Katanya, antara agenda terpenting apabila berlakunya apa jua bentuk ikhtilaf dan khilaf ialah kembali kepada al- Quran dan Sunnah iaitu dasar utama yang menjadi pegangan utama umat Islam.

Firman Allah SWT dalam Surah al- Nisa’: 59: 
“Wahai orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul-Nya) dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalilah kepada Allah (al Quran) dan rasul-Nya (Sunnah), jika kamu benarbenar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya,”.
PUNCA PERMASALAHAN

Hakikatnya pada masa ini tidak ramai daripada mereka yang terlibat dengan perselisihan pendapat ini mengikhlaskan diri untuk kembali melihat dasar-dasar dalam al-Quran dan Sunnah ini.

“Sebaliknya mereka lebih gemar berfalsafah dan bersikap taksub kepada pendapat masing-masing atau berfikiran sempit dengan berpegang teguh kepada pandangan sesuatu aliran atau mazhab anutannya.

“Malah ada dalam kalangan mereka yang teguh berpaut pada hawa nafsu untuk mencapai matlamat peribadinya yang bersifat kebendaan,” katanya semasa menjadi panel pada Persidangan Meja Bulat Prinsip dan Kaedah Perbezaan Pandangan Dalam Kerangka Ahli Sunnah Wal Jamaah di IKIM, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Saadan turut mengingatkan umat Islam supaya mengukur kedudukan dan tahap ilmu agama yang dimiliki apabila terlibat dalam isu perbezaan sebegini supaya tidak menyeleweng dan menyalahi fitrah kehidupan ciptaan Allah SWT itu.

Namun begitu, beliau menegaskan bahawa perkara terpenting ialah usaha untuk merapatkan saf dan mengukuhkan ukhuwaah dalam kalangan umat Islam.

“Perbezaan fikrah dan manhaj dalam kalangan gerakan dakwah atau aliran pemikiran Islam yang wujud dalam dunia Islam sekarang ini adalah satu lumrah kehidupan.

“Kita harus berlapang dada kerana usaha menyatukan umat Islam dalam satu wadah tertentu adalah sesuatu yang mustahil dan menyalahi fitrah kehidupan ciptaan Allah,” katanya.

Sumber: Utusan