Kisah Anak Kedah Yang Kini Bergelar Bilionaire..!


ALOR SETAR - Lelaki itu hanyalah seorang pegawai risikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpangkat Mejar suatu ketika dahulu dan seperti penjawat awam yang lain beliau makan gaji dari kerajaan.

Namun tahun 1993 menyaksikan anak jati Sungai Petani itu memberanikan diri untuk berdepan risiko dunia perniagaan yang mencabar dan memulakan perniagaan kereta terpakai bersama isterinya.

Syahril A Kadir
"Masa tu beliau tidak memiliki AP namun dia berkongsi AP dengan rakan-rakan yang memiliki permit tersebut. Lama kelamaan beliau berjaya juga memiliki AP dari kerajaan dan perniagaan keretanya semakin menjadi sebutan," tulis bekas wartawan prolifik, Syahril A Kadir, berkenaan lelaki tersebut di ruang status Facebooknya.

Ekoran perubahan dasar kerajaan yang berubah menghentikan pemberian AP (approval permit) kenderaan import secara terbuka dan bertukar kepada sistem penawaran AP francais, lelaki berkenaan juga perlu melakukan sedikit perubahan.

"Untuk mendapatkan franchise AP, Syed Azman perlu dilantik oleh syarikat kereta asing sebagai pengedar then barulah permit itu dianugerahkan kepadanya. 

"Nasib menyebelahinya apabila beliau berjaya mendapatkan kepercayaan daripada Honda untuk melantiknya sebagai pengedar beberapa jenis kereta tersebut di Malaysia antaranya Honda Jazz. Kemudian Syed Azman mendapat hak untuk mengedar pula Chevrolet dan Suzuki," jelas Syahril.


Memetik kisah lelaki berkenaan dari The Star belasan tahun dulu, lelaki tersebut meluahkan rasa bosan beliau kerana terpaksa menghabiskan masanya di atas jalan raya dan memutuskan untuk membeli sebuah helikopter, atas cadangan dari seorang rakannya.

"Pada tahun 2003, beliau membeli sebuah helikopter dengan harga US$1.5 juta bagi kegunaan hariannya, bila heli itu tidak digunakannya, beliau sewakan saja pada mereka yang berminat. 

"Ketika itulah beliau sedar yang permintaan untuk helikopter ini tinggi di Malaysia. Lima tahun kemudian, beliau berjaya mendapatkan kontrak pertama untuk menyediakan perkhidmatan helikopter untuk membawa pekerja sektor minyak dan gas ke pelantar," cerita Syahril lagi.

Menurut bekas Pegawai Khas Menteri tersebut, lelaki berkenaan kini memiliki lebih 40 buah helikopter, empat buah jet persendirian dan kontrak bernilai RM8 bilion bagi membawa pekerja pelantar minyak.


Tulis Syahril, pemilikan tersebut menjadikannya antara lelaki Melayu terkaya di Malaysia ketika ini.

"Ini belum campur perniagaan peluru berpandu, peralatan pertahanan, hartanah, kenderaan, pembinaan etc," tulis Syahril berkenaan lelaki yang kini berusia 56 tahun itu.

Menariknya, apabila ditanya media berkenaan jumlah sebenar kekayaan beliau, jawapan yang diberikan lelaki itu mampu membuat ramai yang tersengih mendengarnya.

"Saya tak boleh beritahu jumlah harta saya, mak saya tak suka," ujar lelaki itu memberi jawapan yang cukup "comel" bagi soalan berbentuk "cepu mas" tersebut!


Anak Kedah yang dimaksudkan itu ialah ahli perniagaan terkemuka negara yang merupakan pemilik Weststar Aviation Services Sdn Bhd (WAS),Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim yang membanggakan seluruh rakyat Kedah! -Kedahnews.com