Pada usia sangat muda, dia sudah bergelar jutawan.
Manakala dalam kalangan "lelaki lembut", Safiey Ilias boleh dikategorikan antara yang paling ‘meletop’ kerana memiliki segala-galanya – nama, harta dan rupa.
Mengimbas kembali perjalanan hidup Safiey yang baru berusia 22 tahun bulan hadapan, dia sememangnya seorang yang memiliki kepintaran sejak di bangku sekolah rendah apabila meraih semua A ketika peperiksaan UPSR dan PMR.
Ketika belajar di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kuantan (SBPIK) Safiey yang bukan datang dari keluarga senang hanya mampu melihat rakan-rakannya yang lain "outing" ke bandar setiap minggu atau ibu bapa mereka datang membawa makanan sedap-sedap.
Namun itu tidak mematahkan semangatnya malah dia mula mencari duit poket sendiri dengan menjadi agen dropship produk kecantikan menerusi promosi di Facebook sahaja.
Kegigihannya menyaksikan dia mula memiliki pendapatan yang kian lumayan dan akhirnya mempunyai modal untuk berniaga sendiri.
Bukan itu sahaja, ketika berusia 17 tahun Safiey sudah pun mempunyai simpanan sebanyak RM200,000 berkat perniagaannya semasa masih belajar dan tinggal di asrama sahaja.
Pada Jun 2013 ketika berusia 19 tahun pula, Safiey memiliki wang RM1 juta bersih pertamanya!
Berdasarkan kisah hidupnya, jelas Safiey seorang yang bersungguh-sungguh dan jenis yang pandai berfikir dan merebut peluang.
Maka dia berhak untuk berbangga dengan kejayaan yang diraihnya manakala orang lain pun sudah pasti mudah berasa cemburu melihat pakej ‘sempurna’ yang dimilikinya.
Namun ternyata Safiey bukan seorang yang berfikir tentang dunia sahaja apabila dia akhirnya mengambil keputusan untuk kembali ke jalan yang betul sebagai seorang Islam.
Perkara ini turut dikongsikan di Facebook miliknya.
Sudah tentu, keputusan yang diambilnya ini tidak mudah apatah lagi dia kini berada di puncak kesenangan dengan memiliki segala-galanya yang diingini kebanyakan manusia lain di luar sana.
Sebagai contoh, tindakan Safiey menjalani pembedahan membuang implan payudaranya baru-baru ini.
Menerusi perkongsian oleh seorang pendakwah menerusi tulisannya, Safiey atau nama sebenarnya Safiudin ada berkongsi isi hati dengannya bahawa dia nekad menempuh kesakitan pembedahan kerana terlalu rindu mahu menjadi lelaki sejati yang boleh solat berjemaah di masjid dan keluar berdakwah.
Jawapan bagi penghijrahan Safiey ini tak lain tak bukan adalah kerana rahmat Allah Taala yang menganugerahkan kepadanya hidayah untuk benar-benar nekad kembali ke pangkal jalan meskipun terpaksa berjihad dengan menempuh kesakitan dan sebagainya.
Antara cara mendapat hidayah adalah berbaik sangka (husnuzon) kepada Allah Taala. Mudah mudahan, kita juga mendapat hidayah daripadaNya dan sesudah itu dikuatkan hati agar terus istiqomah mengikut jalan yang diredai.
Paling utama, kini Safiudin bukan saja memiliki rupa, harta dan nama, malah dia kini memiliki sesuatu yang jauh lebih berharga serta hanya diberikan kepada mereka yang sukai Allah SWT, iaitu HIDAYAH! –Kedahnews.com