KJ Mahu Aktiviti Sukan Patuhi Garis Panduan MetMalaysia

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin
KUALA LUMPUR – Semua persatuan dan penganjur sukan perlu mematuhi garis panduan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Pada masa sama, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin turut mengingatkan atlet dan pengamal sukan supaya menghentikan sebarang aktiviti sukan dan latihan sekiranya keadaan cuaca tidak baik untuk mengelakkan insiden tidak diingini seperti dipanah petir.

“Saya lihat kadang-kala kita ambil mudah soal cuaca ini…Bila ada petir, saya masih lihat banyak aktiviti yang sepatutnya dihentikan, tetap diteruskan.

“Semua persatuan sukan harus melayari laman sesawang Jabatan Metereologi (www.met.gov.my) sebab di situ disenaraikan garis panduan dan bila sesuatu aktiviti sukan itu perlu diberhentikan,” katanya.

Beliau menggulas insiden dua pemain skuad Piala Presiden Melaka United dipanah petir ketika sesi latihan pasukan itu di Krubong, Melaka, petang kelmarin.

Insiden itu melibatkan penjaga gol berusia 18 tahun, Marco Stefan Petrovski dan pemain pertahanan, Muhammad Afiq Azuan, 21.

Terdahulu Khairy menyempurnakan majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada pasukan dodgeball kebangsaan yang akan menyertai kejohanan Piala Dunia di Manchester bulan ini, di sini semalam.

“Satu insiden yang sangat menyedihkan…saya tidak pasti apa yang berlaku dalam kes ini tetapi saya harap insiden ini menjadi iktibar kepada semua supaya tidak mengambil mudah soal cuaca,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Khairy memberi jaminan Majlis Sukan Negara (MSN) akan menjaga kebajikan pemain golf negara, Mohd Shaaban Hussin, 36, yang terlibat dalam kemalangan jalan raya pada Khamis lepas.

“Saya telah mengarahkan MSN memberi surat jaminan kepada Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menanggung segala kos rawatan beliau. Saya juga telah meminta Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) untuk lihat apa lagi bentuk bantuan yang boleh kita berikan kepada Mohd Shaaban dan keluarganya.

“Pada masa sama, saya akan cadangkan kepada MSN agar kita menawarkan satu peranan kepadanya di MSN, mungkin sebagai jurulatih atau pegawai supaya beliau terus bersama sukan golf. Namun, kita akan bagi pilihan kepadanya. Buat masa ini, kita fokus kepada pemulihannya dahulu,” kata Khairy.

Juara Kejohanan PGM Sime Darby Harvard 2016 itu terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan ke Kelab Golf & Country Glenmarie di Shah Alam bagi menjalani latihan menghadapi Kejohanan Darul Aman PGM di Kedah, menyebabkan kaki kirinya terpaksa dipotong. – BERNAMA