Lebih 2,000 Majikan Gagal Beri Salinan Kontrak Bertulis Pekerja

Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR – Sebanyak 2,251 majikan melakukan kesalahan kerana gagal memberi salinan kontrak bertulis kepada pekerja di bawah Peraturan 8, Peraturan-peraturan Kerja 1957, Akta Kerja 1955.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata daripada jumlah itu, 60 majikan dikenakan tindakan kompaun atas kesalahan gagal mematuhi peraturan itu.

“Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia menjalankan 31,202 pemeriksaan berkanun bagi tahun lepas. Daripada pemeriksaan itu, didapati 2,251 majikan melakukan pelanggaran di bawah Peraturan 8, Peraturan-peraturan Kerja 1957,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, semalam.

Beliau menjawab soalan Che Mohamad Zulkifly Jusoh (BN-Setiu) mengenai tindakan yang diambil terhadap majikan yang menggajikan pekerja dengan hanya menawarkan pekerjaan secara lisan dan tanpa sebarang perjanjian ataupun kontrak secara bertulis.

Katanya, setiap kontrak perkhidmatan yang dibuat secara bertulis hendaklah mematuhi sub peraturan 5(b) Peraturan-peraturan Kerja 1957, mengandungi butiran nama, nombor kad pengenalan, pekerjaan yang ditawarkan, kadar upah, kadar elaun, kadar kerja lebih masa, faedah lain, waktu kerja biasa, tempoh notis penamatan perkhidmatan, kelayakan cuti am, cuti tahunan dan cuti sakit serta jangka masa tempoh upah. – BERNAMA