Lebih RM100 Juta Untuk Digital Langkawi - Ahmad Bashah

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah
LANGKAWI - Lebih RM100 juta sudah dibelanjakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) sejak tahun lepas bagi membangunkan infrastruktur komunikasi di bawah pembangunan Digital Langkawi - 'Smart Community, Safe Island'.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah kelmarin berkata, pembangunan itu membolehkan pulau peranginan ini menikmati perkhidmatan telekomunikasi terbaik sekali gus memanfaatkan pelancong.

"Kita mendapat makluman bahawa pelancong yang datang berpuas hati dengan infrastruktur telekomunikasi yang kita buat di Langkawi ini (dan menyatakan ia) setaraflah dengan negara-negara lain," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat kerajaan negeri di sini.

Menurutnya, antara pencapaian di bawah pembangunan itu, setakat ini termasuk penaiktarafan kabel dasar laut daripada 40 Gigabit per saat (Gbps) ke 90 Gbps; pengoperasian bandwidth berkapasiti 2.1 Terrabyte (Tb) dan pembinaan 10 menara telekomunikasi baharu di kawasan tumpuan.

Kabel fiber sepanjang 152 kilometer di seluruh Langkawi bertujuan meningkatkan kelajuan dan liputan selain penyediaan 27 lokasi liputan rangkaian 4G LTE, katanya.

Ahmad Bashah berkata, pembangunan Digital Langkawi ini juga turut melibatkan penambahbaikan dua ibu sawat Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) dan sebuah ibu sawat Jalur Lebar Pinggir Bandar oleh Telekom Malaysia bagi perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi.

Pencapaian lain termasuk pembangunan empat Pusat Internet 1Malaysia (PI1M), 260 lokasi wi-fi percuma, capaian Internet sehingga 100 Mbps di bawah perkhidmatan Unifi dan wi-fi percuma di dua masjid di Langkawi.

Beliau turut meminta pengusaha hotel di Langkawi untuk membantu usaha kerajaan ini dengan memastikan sistem wi-fi di premis masing-masing sentiasa dalam keadaan baik demi kemudahan pelancong. - Bernama