Lebuhraya Tanpa Tol Jadi "Penghubung" Limpahan Rezeki


KUCHING – Perjalanan yang lancar, kadang-kadang beralun menjadikan pengalaman pemanduan ke bandar pantai Pekan Sematan, kira-kira 100km dari ibu negeri ini, mempesonakan.

Keindahan semulajadi melalui kawasan hutan bukit, batu bundar besar, sungai berliku-liku dan kampung-kampung, menjadikan pengalaman perjalanan di sepanjang kawasan luar bandar Sarawak sesuatu yang sukar dilupakan.

Pergerakan perlahan lori dengan muatan minyak sawit, bahan pembinaan dan barangan keperluan mengingatkan penulis bahawa jalan raya dua lorong itu adalah laluan utama bagi perdagangan dan sebahagian daripada 1,089km jajaran Lebuhraya Pan Borneo Sarawak (LPBS).

Kerja-kerja sudah bermula bagi menghubungkan Sematan, yang terletak dalam kawasan pilihan raya Tanjung Datu di bawah Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem, dengan Telok Melano, lebih 30km ke arah utara kawasan perairan pantai dengan Kalimantan, Indonesia.

Adenan telah berusaha keras untuk membawa lebuh raya itu ke negeri Bumi Kenyalang dan pembinaan projek bernilai berbilion itu dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Raszak pada September tahun lepas.

LPBS, sepanjang 1,089km akan merentasi negeri itu dari Telok Melano di hujung barat laut ke bandar Merapok di Lawas, bersempadanan Sabah.

Kos projek lebuh raya sepanjang 2,239km melibatkan dua negeri itu dianggarkan sebanyak RM27 bilion dengan RM14.2 bilion untuk laluan Sarawak.

Permulaan kerja bagi sektor Sematan-Telok Melano telah mencetuskan rasa teruja dalam kalangan penduduk tempatan.

Kebanyakan penduduk Sematan terdiri daripada nelayan, petani dan pengusaha bot dan sebilangan bekerja sebagai pemandu pelancong. Golongan anak muda lebih berminat untuk berhijrah ke bandar-bandar besar daripada turun ke laut atau mengusahakan tanah.

Telok Melano adalah sebuah kampung kecil dengan jumlah antara 200 dan 300 penduduk. Beberapa anak muda kampung itu bekerja sebagai pemandu pelancong, mengambil kesempatan dengan jarak dekat dengan Taman Negara Tanjung Datu.

Taman Negara dengan keluasan 14 kilometer persegi itu adalah yang paling kecil di Sarawak tetapi boleh dikatakan yang paling indah.

Ketiadaan kemudahan jalan raya yang sempurna di permukaan bumi berbatu-batan antara Telok Melano dan Sematan menyebabkan laluan laut menjadi pilihan utama.

Kemudahan perkhidmatan bot dari Sematan ke Telok Melano adalah jarang dan tidak berjadual dan tiada perkhidmatan bot semasa musim monsun berikutan keadaan laut bergelora antara Oktober hingga Februari.

Sewa bagi bot bersaiz besar adalah sekitar RM700 dan bot laju RM540 untuk perjalanan tidak berjadual.

Penduduk setempat termasuk warga pendidik di Telok Melano sering kali merungut mengenai masalah pengangkutan kerana mereka perlu membeli belah di Sematan.

Jika tidak kerana kesukaran perjalanan, banyak lagi pelancong dan pelawat lain akan pasti berkunjung ke Telok Melano.

Pembinaan dua lorong dua hala ke Telok Melano bermakna lebih daripada kemudahan perjalanan semata-semata bagi penduduk setempat.

Penduduk setempat mengetahui keadaan ini dan memahami wawasan Ketua Menteri itu untuk membawa pelaburan besar, lebih banyak perladangan, kilang, peluang pekerjaan serta membuka pasaran yang luas untuk produkt tempatan untuk rakyat Sarawak.

Seorang ahli perniagaan menyifat LPBS sebagai ‘jambatan kepada limpahan rezeki’.

“Banyak akan berubah dan sesuatu yang besar dan hebat akan datang. Lebuh raya ini akan membuka wilayah ini kepada pembangunan dan perdagangan,” kata Mohd Habib Mohd Anuar, seorang penduduk asal Sematan berusia 43 tahun itu.

“Ia pasti lebih mudah bagi peniaga tempatan untuk berkunjung ke Telok Melano dan saya rasa taraf hidup penduduk di sana akan meningkat.

“Susulan perkembagan ini, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan khususnya ketua menteri kerana mengambil kira nasib kami di sini,” katanya.

Menurut pengurus projek, Foo Kee Seng, kos pembinaan laluan Telok Melano-Sematan sepanjang 32.77km itu dianggarkan sekitar RM580 juta.

Projek tersebut sudah bermula April tahun lepas dan dijadual siap dalam tempoh 39 bulan dengan kekuatan tenaga kerja antara 300 dan 500 orang.

Terletak Pusat Perlindungan Liar Samunsam di satu bahagian dan Laut China Selatan di sebelah lain, laluan LPBS sudah pasti menjanjikan pemanduan yang mengagumkan.

Dua cabang laluan akan dibina bagi meningkatkan akses kepada Kampong Telok Serabang dan Taman Negara Tanjung Datu. – BERNAMA