Penunggang Moto3 negara, Khairul Idham Pawi |
PETALING JAYA - Penunggang Moto3 negara, Khairul Idham Pawi meminta maaf kepada rakyat Malaysia kerana gagal mengulangi kejayaannya pada perlumbaan Grand Prix (GP) Amerika Syarikat di Litar Americas Austin, Texas, awal pagi Isnin.
Pada perlumbaan di litar sepanjang 5.513 kilometer itu, Khairul Idham sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-20 dengan catatan 42 minit 02.975 saat.
"Maaf Malaysia," kata pelumba berusia 17 tahun itu menerusi laman Facebooknya pada awal pagi Isnin.
Menurut Khairul Idham yang lebih dikenali dengan gelaran Super KIP, kegagalan untuk menduduki kelompok teratas adalah disebabkan kesilapan strategi tunggangannya pada sesi ujian kelayakan.
"Salah percaturan pada ujian kelayakan. Ia hari yang sukar buat saya," katanya.
Khairul Idham yang melakar sejarah memenangi perlumbaan di GP Argentina minggu lalu, terpaksa memulakan perlumbaan di petak ke-32 selepas gagal menyerlah pada ujian sesi kelayakan, awal pagi Ahad.
Permulaan di petak kedua terakhir itu ternyata menyukarkan pelumba Honda Team Asia tersebut untuk melepasi kelompok pendahulu.
Sementara itu, seorang lagi pelumba negara, Adam Norrodin yang bermula di petak keenam gagal meneruskan perlumbaan selepas terbabit dengan kemalangan.
Pelumba SIC Racing Team itu yang dilihat berpeluang cerah untuk merebut kedudukan podium dilanggar dari belakang pada pusingan kedua menyebabkannya terjatuh.
Perlumbaan GP Amerika Syarikat itu dijuarai pelumba Itali, Romano Fenati dengan kepantasan 41 minit 14.868 saat diikuti pelumba Sepanyol, Jorge Navarro, ketinggalan 6.612 saat.
Tempat ketiga pula menjadi milik Brad Binder dari Afrika Selatan yang menamatkan perlumbaan dengan 41 minit 25.403 saat.
Sumber: mStar