Liyana Jasmay Tak Mahu Dilihat Memperbodoh Diri Sendiri

Liyana Jasmay
Pelakon Liyana Jasmay tidak berminat untuk menyertai mana-mana program realiti yang menjadi trend dikalangan selebriti sejak akhir-akhir ini.

Liyana, 28, berkata, dia mempunyai strategi tersendiri untuk kekal relevan dalam industri seni selain tidak mahu memperbodohkan diri jika muncul dalam program berbentuk sedemikian.

"Sekiranya memasuki program realiti semata-mata untuk populariti bagi saya perkara itu bukanlah segala-galanya kerana pada saya banyak perkara penting lain perlu diberi keutamaan dan jika kita bersungguh-sungguh populariti itu akan datang dengan sendirinya.

"Sejujurnya saya tidak berminat kerana tidak mahu dilihat memperbodohkan diri sendiri kerana saya ada strategi tersendiri.

"Pada tahap sekarang peminat tahu apa yang saya lakukan dan selesa dengan apa yang saya ada sekarang," katanya.

Liyana ditemui pada majlis sidang media dan pra-tonton program Karya 12 dekat sini, baru-baru ini.

Sebanyak enam orang pelajar jurusan seni filem berkolaborasi dengan enam pengarah terkenal menghasilkan filem televisyen.

Kesemua 12 karya tersebut akan disiarkan pada setiap Sabtu bermula 30 April ini pukul 10 malam di Astro Citra (131) dan Mustika HD (134).

Dalam pada itu, ibu kepada dua cahaya mata ini berkata, pendiriannya itu bukan bererti di memandang rendah terhadap selebriti lain yang menyertai program realiti.


Sebaliknya kata Liyana, ia adalah pilihan masing-masing dalam mencorakkan karier mereka.

"Saya sendiri tidak tahu sebab mengapa mereka menyertai program realiti tetapi itu hak dan pilihan masing-masing dan saya berharap mereka dapat memberikan yang terbaik," ujarnya.

Sementara itu, bercakap mengenai karier nyanyiannya, Liyana berkata, dia merancang untuk melancarkan sebuah single baharu pada setiap bulan dan buat permulaan lagu Oh Na Na akan menemui pendengar tidak lama lagi.

Kata Liyana, lagu tersebut adalah ciptaan sepenuhnya Aliff Abdullah yang juga bekas anggota kumpulan Sleeq dan akan terus menggunakan khidmat komposer berkenaan.

"Saya ada keserasian dengan Aliff kerana dia tahu apa yang saya mahu dalam sesebuah lagu. Alhamdulillah kami sudah pun menyiapkan beberapa buah lagu.

"Bagaimanapun saya ada juga berkolaborasi dengan komposer lain dan Insya-Allah akan melancarkan sebuah lagu pada setiap bulan," katanya.

Sumber: mStar