MARA Tidak Akan Kurangkan Jumlah Tajaan Pelajar

KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (Mara) tidak akan mengurangkan jumlah tajaan pelajarnya, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Bagaimanapun Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, Mara akan menjalankan kajian dan dasar baharu bagi memilih negara alternatif untuk menaja pelajar-pelajarnya berikutan keadaan ekonomi negara ketika ini.

Antaranya, Mara akan melihat kepada negara yang menpunyai kos sara hidup lebih rendah dan pada masa sama mempunyai kualiti pengajian dan pembelajaran yang tinggi.

“Contohnya, kita kurangkan penghantaran pelajar di United Kingdom, sebaliknya hantar pelajar ke negara lain seperti India kerana kos sara hidup lebih rendah,” katanya menjawab soalan Datuk Othman Aziz (BN-Jerlun).

Katanya dalam masa yang sama, Mara melaksanakan program kerjasama antara Institusi Pendidikan Mara (IPMa) dan beberapa institusi awam dan swasta terpilih yang mempunyai rangkaian usahasama program dengan universiti di luar negara.

“Dahulu pelajar-pelajar akan dihantar terus ke luar negara untuk mengikuti pengajian sepenuh masa di sana.

“Bagi menghadapi kekangan ekonomi semasa, pelajar-pelajar akan membuat persediaan di dalam negara selama dua tahun setengah dan seterusnya di universiti luar negara terpilih bagi program Ijazah Sarjana Muda,” katanya. – BERNAMA