KOTA BHARU - Tiada permohonan membuka panggung wayang diluluskan di Kelantan, setakat ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan Negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, dakwaan mengatakan Paragon Cinema akan dibuka di pusat beli belah KB Mall, Julai ini juga tidak benar.
"Kita tidak pernah beri apa-apa kelulusan untuk buka panggung wayang di sini. Tidak ada permohonan pun.
"Itu (buka Paragon Cinema) hanya viral semata-mata, yang tidak boleh dilayan sangat," katanya di sini, semalam.
Katanya, Kelantan tetap dengan pendirian hanya membenarkan pawagam yang mematuhi syariah sahaja dibuka di negeri itu.
Abdul Fattah juga memberitahu tidak menolak sekiranya ada syarikat yang boleh mematuhi syarat ditetapkan kerajaan negeri.
Antara syarat diketengahkan termasuk mengasingkan tempat duduk lelaki dan wanita, pawagam diterangi lampu sesuai dan hanya filem tertentu sahaja dibenarkan sekali gus menolak filem berunsur songsang.
Sumber: myMetro