Tan Sri Khalid Abu Bakar |
KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen pembangkang yang menyertai protes jalanan dari Parlimen menuju ke Bukit Aman sebagai tanda solidariti terhadap Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli boleh dan akan ditahan mengikut Akta Perhimpunan Aman (APA), kata Ketua Polis Negara.
Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi laman Twitternya pada Rabu berkata akta tersebut melarang sebarang protes jalanan.
"APA juga melarang sebarang protes jalanan dan penganjur bersedialah untuk berhadapan tindakan tegas," tulisnya menerusi Twitter @KBAB51.
Khalid berkata, penahanan Rafizi adalah mengikut undang-undang dan polis menyerahkan kepada Peguam Negara dan mahkamah untuk membuat keputusan.
Pada Rabu, Ahli Parlimen pembangkang berkata mereka akan berarak dari bangunan Parlimen ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada pagi Khamis untuk membantah penangkapan Rafizi.
Rafizi ditahan di hadapan Parlimen kira-kira pukul 6.20 petang Selasa di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) bagi membantu siasatan berhubung dakwaan beliau terhadap Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
Sumber: mStar