Annur Syakirah berada di samping anaknya yang memerlukan mesin pernafasan oksigen baru bagi meneruskan hidup. |
KUALA NERANG - "Kami terpaksa guna mesin oksigen ini kerana tiada pilihan biarpun tahu akan memudaratkan anak." Luah seorang ibu muda dari Kampung Padang Gelanggang, Mukim Padang Terap Kanan, di sini ketika menceritakan keadaan anaknya yang terpaksa bergantung kepada mesin oksigen untuk bernafas.
Annur Syakirah Mahazir, 23, berkata, dia dan suami (Mohd Yazid Lazim, 25,) sangat memerlukan bantuan orang ramai bagi membiayai kos membeli mesin yang baru untuk anaknya, Muhammad Rayyan yang berumur setahun enam bulan.
Menurutnya, dengan pendapatan suaminya yang hanya bekerja sebagai penoreh getah tidak mungkin mereka dapat membeli mesin itu yang berharga RM20,000.
"Sekarang harga getah murah, pendapatan kami hanya cukup untuk makan sahaja termasuk beli susu khas dan lampin pakai buang anak.
"Sebelum ini, saya beli mesin oksigen itu dengan wang sumbangan orang ramai, namun kini mesin itu sudah tidak elok," katanya.
Bagaimanapun, Annur Syakirah bersyukur kerana Pejabat Zakat turut menghulurkan sumbangan RM600 sebulan untuk anaknya.
Annur Syakirah berkata, anaknya terpaksa bergantung kepada mesin oksigen kerana menghadapi masalah jantung berlubang, paru-paru kecut dan saluran darah oksigen terbalik sejak lahir.
"Selepas dilahirkan, anak saya terpaksa tinggal di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) selama setahun kerana kami tidak mampu untuk membeli mesin itu,” katanya.
Katanya, kini kesihatan anaknya itu sering terganggu dan badannya itu akan kebiruan apabila mesin itu mengalami masalah.
Bagi mereka yang ingin membantu boleh hulurkan sumbangan kepada Annur Syakirah Mahazir di akaun CIMB 7057753680 atau hubungi di talian 0194070530.
Sumber: Sinar Harian