PELAKON Hafidz Roshdi dalam satu kenyataan mengaku tunangnya meluahkan perasaan cemburu melihat kemesraan dan keakrabannya dengan pelakon jelita, Uqasha Senrose, di laman sosial.
Katanya, tunangnya ketika itu mungkin kurang faham tentang karier anak seni yang memerlukan pelakon sepertinya beraksi di depan lensa bagi tujuan promosi sesebuah drama yang dilakonkan.
“Tunang saya pernah meluahkan perasaan cemburu apabila saya selalu memuat naik gambar bersama Uqasha di laman sosial dan begitu juga sebaliknya.
“Pada permulaannya mungkin tunang saya tidak memahami apa yang kami lakukan itu sekadar untuk mempromosikan drama yang sedang ditayangkan sekarang," cerita Hafidz.
Namun kata Hafidz, dia tidak membiarkan tanggapan tersebut menyelebungi perasaan tunangnya itu dengan memberikan penjelasan tentang gambar-gambar berkenaan supaya tidak timbul salah faham dihati.
“Dalam perkara seperti ini, saya terpaksa bertindak dengan pantas dan menjelaskan secara mendalam mengapa kami berbuat demikian supaya tidak menimbulkan salah faham.
“Dia berasa cemburu melihat saya dan wanita lain kerana dia mempunyai perasaan sayang terhadap diri saya,” katanya lagi.
Hafidz juga enggan mengulas dengan lebih terperinci mengenai tunangnya yang masih meneruskan pengajian di peringkat ijazah. -Kedahnews.com