KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan rasa kagum terhadap semangat bekas ketua-ketua Pemuda UMNO yang sezaman dengannya dalam mempertahan, menegak dan meneruskan perjuangan parti.
Najib berkata walaupun ada antara mereka kini sudah berumur 60-an, semangat cintakan parti tidak pernah luntur.
“Ada yang kini masih aktif dalam dunia politik dan kerjaya, ada pula yang telah lama bersara. Ada yang dah bertahun-tahun saya tak jumpa, ada juga yang telah meninggalkan kita,” katanya dalam catatan terbaru di blog NajibRazak.com di sini semalam.
Najib berkata mereka merupakan tempat yang boleh beliau bergantung harap untuk mempertahankannya bukan sahaja sebagai presiden UMNO tetapi juga sebagai sahabat.
“Semua yang hadir di dalam dewan semalam adalah sebahagian daripada sejarah UMNO, kerana tanpa sokongan Pemuda ketika UMNO dilanda konflik Team A dan Team B suatu ketika dulu, tidak mungkin parti kita akan pulih dan bangkit menjadi parti yang hebat seperti ia hari ini,” katanya.
Najib mengadakan pertemuan dengan sahabat seperjuangan yang sezaman dengannya ketika beliau menjadi Ketua Pemuda UMNO, dalam satu majlis di Putrajaya, kelmarin.
Perdana menteri berkata beliau tersentuh hati melihat mereka yang datang dari segenap pelosok negara untuk meluangkan masa bersamanya.
“Ada yang kini masih aktif dalam dunia politik dan kerjaya, ada pula yang telah lama bersara. Ada yang dah bertahun-tahun saya tak jumpa, ada juga yang telah meninggalkan kita dan diwakili petang semalam oleh balu dan waris mereka,” katanya.
Jelasnya, nilai persahabatan antara beliau dengan sahabatnya bukan bersandarkan nilai material, tetapi berdasarkan nilai persahabatan yang ikhlas dan tidak boleh dijual beli.
Katanya beliau percaya tidak ada dalam kalangan sahabat-sahabatnya itu yang akan lari atau khianat terhadap sumpah setia sebagai anggota terhadap parti yang dikasihi.
“Macam mana pun, walau apa pun yang berlaku, kita nak jaga parti UMNO keramat kita ini dan tanah air kita untuk generasi akan datang, untuk anak-anak dan cucu-cucu kita.
“Insya-Allah, sama-sama kita kekalkan tali silaturrahim yang telah terjalin sekian lama, terus setia dalam persahabatan, ikhlas dalam perjuangan dan sumpah setia kita untuk UMNO, untuk bangsa dan untuk negara,” katanya. – BERNAMA